Friday, July 1, 2011

Akhlak Mengatasi Ilmu

“Aku akan menjamin sebuah rumah di tepi syurga bagi siapa saja yang meninggalkan perdebatan meskipun dia yang benar. Aku juga menjamin rumah di tengah syurga bagi siapa saja yang meninggalkan kedustaan walaupun dia sedang bergurau. Dan aku juga menjamin rumah di syurga yang paling tinggi bagi siapa saja yang berakhlak baik.”
(Hadis Riwayat Abu Daud)


Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya seseorang mukmin itu dapat mencapai darjat orang yang berpuasa yang mendirikan sembahyang ditengah malam disebabkan akhlaknya yang mulia.”
(Hadis Riwayat Abu Daud)
Akhlak atau adab sopan yang terpuji amatlah dituntut di dalam Islam. Ianya sehingga boleh mengatasi darjat orang yang berpuasa dan sembahyang malam. Siapa yang tidak mahu. Susah ke nak berakhlak baik ni? Mungkin ianya subjektif bagi setiap orang. Lain padang lain belalang. Bagi yang memang terdidik dengan akhlak yang mulia mungkin bersopan santun dalam segala hal memang sudah menjadi darah daging. Kalau terlajak berbuat sesuatu yang tidak baik, rasa gelap dunia, menggelabah dan tidak senang duduk. Bagi yang terdidik dengan akhlak kelas terendah, buatlah apa sahaja yang buruk, hati dia tak ada hal punya. Hatinya pun tak kuasa nak masuk campur.
Peri pentingnya akhlak yang baik dan terpuji ini boleh dilihat dalam banyak hal dalam dunia ini. Salah satu contohnya, apabila melintas seorang yang berakhlak baik, orang akan berkata, "Anak siapa le ni?" sambil mulut mengukir senyuman tulus dan mulus. Sambungnya lagi, "Belajar kat mana la budak ni? Bertuah siapa dapat menantu macam dia ni."
Bila melintas pula si buruk akhlak, orang akan berkata-kata, "Anak sapa...la ni???" sambil mengetap gigi atau ternganga kecil. Sambungnya lagi, "Ngaji mana le gamaknya dia ni? Mak pak dia tak ajar adab ke?
Katakanlah yang budak berakhlak baik tadi kurang ilmu pengetahuan duniawinya, namun dengan akhlaknya yang baik itu dia tetap beruntung di dunia dan di akhirat. Sebaliknya yang buruk akhlak tadi walaupun memiliki ijazah berjela-jela, tetap tidak membuatkannya seorang yang hebat di mata masyarakat. Allah sendiri tidak memandang baik rupa, pangkat, darjat mahupun keturunan seseorang. Tidak semua orang begitu bertuah memiliki IQ yang tinggi tetapi semua orang berpeluang memiliki EQ yang tinggi serta akhlak yang tinggi. Inilah yang dikatakan akhlak mengatasi ilmu. Jika seseorang itu berilmu dan berakhlak mulia dalam masa yang sama, maka orang itulah yang sehabis baik dan layak menjadi pemimpin.
Dalam masalah akhlak ini, nak disalahkan ibubapa bulat-bulat pun tak boleh juga. Walaupun bapa ustaz atau mak ustazah, anak-anak ada juga yang akan jadi kacang hantu. Tidak pun, dalam kalangan anak-anak yang berakhlak mulia, akan ada terselit seorang dua yang kacang hantu. Padahal kasih sayang dan kebendaan diberi sama rata. Bukan salah kedua ibubapanya mengandung sebenarnya. Bapa pun 'mengandung' juga tau, sekejap aje la, tak rasa apa-apa pun.
Budak-budak ni kadang-kadang terpengaruh berakhlak buruk dari pergaulan rakan-rakan. Kalau masa bersama rakan dan taulan lebih banyak daripada masa bersama ibubapa, manalah mereka tak lebih condong mencontohi rakan-rakan. Itulah pentingnya dalam Islam, bagi 7 tahun pertama usia anak-anak, mereka diberi kasih sayang dan kemanjaan sepenuhnya. 7 tahun kedua kalau tak silap, latih dan didik mereka dengan ilmu dan amalan agama. Jika tak sembahyang di umur 7 tahun, boleh dirotan. 7 tahun yang seterusnya, jadikan anak-anak sebagai kawan. Tahun-tahun selepas dari itu anak-anak mula terbang meninggalkan sarang, mereka pun mungkin akan ketemu pasangan masing-masing. Masa itu ibubapa akan mula kehilangan kawan rapat. Namun, bila telah tersemai benih kasih sayang dan didikan sempurna, anak-anak itu Insyaallah akan pandai menjaga diri, maruah diri dan keluarga di samping mendokong akhlak yang terpuji. 'Setinggi-tinggi terbang bangau akhirnya akan balik ke belakang kerbau jua'. Sejauh manapun mereka pergi pasti ibubapa dan keluarga tetap di hati, lalu membawa mereka pulang untuk menabur bakti dan kasih sayang kepada ayah bonda tercinta.

Dalam dunia pekerjaan juga, akhlak pekerja yang baik dan mulia sangat-sangatlah diperlukan. Para majikan di luar sana, apabila anda ingin mengambil seseorang pekerja baru, tidak kira apa jua jawatan, perkara pertama yang perlu anda gali dan selidiki daripada calon-calon pekerja ialah dari segi akhlaknya. Jangan hanya memandang kelulusan dan pencapaian calon semata-mata. Pencapaian calon boleh diperolehi dengan apa jua cara, ada cara jujur, ada juga cara kotor. Pencapaian calon bukan cerminan sebenar samada dia boleh bekerja dengan baik atau tidak. Jika tersalah pilih, dengan mengambil pekerja baru yang buruk akhlaknya, maka lingkuplah organisasi itu. Tambahan pula pekerja yang diambil tidak amanah, berlagak pandai, pandai cakap tak pandai buat, mengulat dan mengular, kaki kapur, kaki bodek, kaki tikam belakang..haishh banyak sangat sifat-sifat buruk pekerja sekarang yang tak dapat dibilang dengan jari lagi. Sebaliknya jika pekerja yang terpilih mulia akhlaknya, walaupun kurang kelulusan sekalipun, anda boleh meletaknya di mana-mana sahaja. Jika dia terkurang ilmu dan kepakaran, dia sanggup dan rela dihantar belajar atau berkursus ilmu-ilmu baru berbanding si kelulusan tinggi yang ego dan perasan pandai dan bagus. Si akhlak baik akan lebih bersyukur, redha, bekerja kerana Allah, lebih setia dan cakaplah apa sahaja sifat-sifat yang mulia, semuanya dia lulus. Kalau macam ni punya kes, nampaknya majikan-majikan perlu adakan satu uji bakat sebelum mengambil seseorang calon mengisi jawatan-jawatan yang kosong. Biar berbaloi bagi jangkamasa yang panjang, bukannya terambil pekerja yang laksana duri dalam daging.

Akhlak atau adab sopan ini hakikatnya boleh dikategorikan dalam beberapa situasi berlainan seperti contohnya akhlak dengan Allah s.w.t, akhlak ketika di khalayak, akhlak ketika bersunyi diri atau tidak dilihat orang dan akhlak ketika bersama makhluk-makhluk Allah yang lain (sekadar beberapa contoh). Mari kita lihat satu persatu akhlak baik dan buruk mengikut kategori-kategori tersebut. Kategori yang mana anda berada banyak bergantung kepada hasil iman, didikan dan kasih sayang yang anda terima selama ini.

Akhlak baik di khalayak boleh dilihat seperti berikut :-
1. Bercakap dengan penuh sopan santun, berfikir sebelum bercakap, tidak meninggikan suara tak tentu pasal, tidak ketawa mengilai-ngilai tetapi tersipu-sipu sambil menutup mulut (ala-ala lelaki atau perempuan melayu terakhir), takut melukai orang lain dengan perkataan atau perbuatan serta banyak lagi contoh-contoh lain. Senang cakap, akhlak yang baik-baik akan membuatkan sesiapa yang melihat akan rasa terharu atau sebak, tak sedar rasa nak tersenyum dan hati pula akan rasa sejuk dan nyaman. Orang yang sedang sakit pun akan rasa lega serba sedikit bila dilayan oleh orang yang berakhlak baik. 
2. Berjalan menundukkan pandangan atau badan lebih-lebih lagi di hadapan orang tua-tua sampaikan ada tiang di depan pun tak sedar.
3. Tidak menarik muncung sepanjang yang boleh bila bersua dengan orang yang tak disukai ataupun ketika mana dia dimarahi atau dikritik.
4.  Mendahulukan orang tua-tua dan kanak-kanak yang berjalan di depannya. Kalau boleh, buat macam Mr. Bean yang terjun tangga semata-mata tak mahu memintas perempuan tua yang sedang terhegeh-hegeh menuruni tangga.
5. Tidak melanggar walau satupun undang-undang jalanraya ala-ala tengah dok ambil driving test. Cuma jangan bawa kereta macam siput sampai menyusahkan orang lain sudah le.

Akhlak yang buruk di khalayak termasuklah :-
1. Memaki hamun, mengutuk, mencarut, meninggi diri, mengadu domba dan pelbagai lagi 'me', 'men' dan 'meng' yang lain.
2. Sendawa durian ketika sembahyang berjemaah. Satu masjid boleh termuntah dibuatnya. Mentang-mentang le tengah musim durian dan dia tak ada kencing manis atau darah tinggi.
3. Kentut besar dan kentut senyap. Kentut besar, serta merta semua orang tahu siapa punya tapi kentut senyap ni bahaya, tak tahu si gerangan empunyanya, tahu tahu dah menusuk kalbu. Lagi satu, ada pula yang kentut besar di kedai CD atau kaset ketika lagu yang bingit sedang dimainkan. Memang tak senonoh!
4. Merokok berkepul-kepul asap di masjid atau surau. Orang lain sibuk berusaha menjauhi walaupun asap api neraka pada ketika itu, mereka pula sibuk menyedut asap dunia sedalam-dalamnya.
5. Meludah, membuang kahak dan menghembus hingus merata-rata tempat tak kira orang lain tengah makan atau berehat-rehat. Tak ada sivik punya orang!
6. Duduk berlonggok sambil menganyam ketupat tak kira lelaki atau perempuan. Asal berlonggok, menganyam ketupat berlonggok-longgok (yang ni susah... sangat nak elak, gatal aje kerongkong dan ketiak nak cerita hal-hal orang lain). Lebih gempak lagi, sekarang ni aktiviti menganyam ketupat ni dah boleh dibuat melalui Facebook atau laman-laman sosial yang lain. Tak payah buang-buang air liur lagi. Oh! betapa bertuahnya kita.
7. Parkir di petak orang kelainan upaya (OKU). Elok-elok Allah bagi kaki dan upaya, tak nak guna sebaik mungkin. Parkir le jauh sikit. Tak le menyusahkan OKU. Pentingkan diri sendiri! 

Akhlak baik ketika bersunyi diri atau ketika tidak dilihat orang adalah seperti berikut :-
1. Mengetepikan duri, kulit pisang atau sebarang halangan di jalanan sampai orang ingat anda pekerja perbandaran.
2. Menyelamatkan anak kucing atau anak itik Tok Wi yang jatuh dalam parit. Cuma jangan pula cuba melepaskan anjing yang tersepit. Sia-sia kena tokak balik.
3. Membuang tahi cicak atau sampah kecil dalam masjid dan surau bila sahaja ternampak. Jangan asyik nak tunggu tok siak aje yang datang buat. Last-last anda sendiri yang akan tersujud di atas tahi cicak.
4. Tidak komplen walau sepatahpun bila menghadapi hidangan makanan di mana-mana sahaja walaupun ianya yang dimasak oleh sang isteri yang tak reti masak (orang lain pandai masak 3 rasa tapi dia hanya pandai memasak satu rasa aje-tak sedap!!). Tak baik sebenarnya mencaci makanan, Allah yang beri sedap dan Allah juga yang beri tak sedap. Hantar je bini 'satu rasa' tu berguru dengan Chef Wan. Silap-silap dia pula jadi Chef Selebriti.
5. Melayari Internet dengan bahan-bahan yang berfaedah dan berinspirasi seperti Sembang Kala Senggang ni (piiirahh). Tak payah le layan gambar-gambar atau video-video orang miskin papa kedana yang bersepah-sepah dalam tu.

Akhlak buruk ketika bersunyi diri atau ketika tidak dilihat orang jatuh kepada perkara-perkara berikut :-
1. Tidak mengepam (flush) tandas atau pam tak habis selepas qada hajat. Lepas tu cepat-cepat berlalu supaya orang tak nampak dan tak tahu benda tu dia yang punya. Orang macam ni hanya layak duduk dalam hutan aje, boleh berak merata-rata. Alih-alih lepas tu orang yang last masuk la yang jadi mangsa kena pam, takut dia yang tertuduh empunya benda. Takkan nak cakap kat orang yang masuk kemudian,itu orang lain punya. Mesti orang tak percaya. Takkan sampai kena buat ujian DNA pulak. Lainlah kalau dalam jamban tu ada kes bunuh sejurus selepas tu.
2. Meninggalkan komen-komen yang bersifat anonymous berbau kejian, makian, carutan, cercaan terhadap mana-mana blog-blog, facebook atau laman web.
3. Merosakkan harta benda awam yang molek-molek sehingga menyusahkan orang lain. Yang menggores (dan kalah), mencalar dan memancitkan tayar kereta cikgu pula dilakukan oleh murid-murid kacang hantu yang tiada akhlak.
4. Menipu dalam timbangan atau menipu dalam ramuan bila berniaga. Penimbang diadjust bagi lebih bacaannya atau langsung tak pernah dikalibrasi. Dalam ramuan pula contohnya, patut letak dua senduk ramuan, dia letak satu senduk aje. Berdosa tau!
5. Sembahyang bagai ayam sedang mematuk biji-bijian ketika berseorangan. Tomakninah entah ke mana, bacaan entah sempurna entah tidak. Rakaat pun entah cukup entah tidak.
6. Bila diamanahkan mengutip dan menyimpan wang dia pula membuka tabung amanahnya sendiri. Bila dibentang belanjawan, figurenya diadjust baekkk punya.

Amacam, senang atau susah untuk berakhlak baik dan terpuji? Kalau diberi soalan ujian tentang akhlak ni rasanya ramai yang akan fail termasuk saya sendiri. Sebab itulah darjat dan kedudukan orang berakhlak baik ini sangat tinggi di sisi Allah s.w.t. Tak semestinya orang yang penuh pelbagai ilmu yang baik dan bermanfaat di dada akan baik 100% akhlaknya. Sebaliknya, tidak semestinya orang yang tidak banyak ilmu itu tidak boleh berkhlak mulia dan terpuji. Oleh itu, mulai dari saat ini muhasabahlah diri, insafi diri dan perbaiki mana-mana kekurangan akhlak dalam diri supaya kita lebih redha dengan ketentuan Allah dan Allah redha dengan kita. Contohilah dan jadikanlah panduan akhlak unggul junjungan besar kita Rasulullah s.a.w.

Mozar : Akhlak Nabi s.a.w boleh menarik orang yang belum Islam untuk memeluk Islam sebaliknya akhlak umat Islam hari ini boleh membuatkan orang bukan Islam berjalan mundar mandir tak keruan serta tak tidur malam fikir nak masuk Islam atau tak nak masuk Islam. Fikir-fikirkanlah.





No comments:

Post a Comment

Pecah kaca pecah cermin, lepas baca harap komen...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...