Wednesday, July 13, 2011

Syurga Itu Letaknya Di Hati

Pernahkah anda mengecapi bahagia walaupun sekali dalam hidup anda? Mustahil ada orang yang tidak pernah langsung merasa bahagia. Bahagia itu sebenarnya hanya datang dari hati dan perasaan kita. Apabila seseorang itu terasa tersangat bahagia, akan terbit di hati atau di mulutnya ungkapan "I'm in heaven!" ataupun "Aku berada di syurga!". Seorang yang kemaruk cinta contohnya, walau seteruk manapun tempat dia sedang berada, dia tetap akan berasa bahagia jika dapat bersama-sama dengan orang yang tersayang dan yang tercinta. Walau berada di tempat yang kotor, busuk, bising, sempit atau panas, dalam hatinya tetap berbunga-bunga bahagia kerana di dalam hatinya sudah ada syurga. 

Akan tetapi, perlu diingat, cinta yang berbau syurga adalah cinta yang Islami, yakni menurut syarak. Jika cinta yang berpaksikan hawa nafsu serakah alamatnya dekat panggang dengan apilah jawabnya. Tu ada yang sanggup buat 'projek' di merata ceruk, rumah usang atau hutan belukar, semata-mata nak melampiaskan nafsu. Masa tu, dunia di sekelilingnya dah tak nampak dah. 

Bagi pasangan suami isteri yang bahagia, syurga bagi mereka adalah semasa dapat bersama-sama melayari hidup sebagai satu keluarga dengan penuh damai dan harmoni. Tidak perlu kereta mewah, rumah besar, wang berjuta atau harta berkepuk untuk membahagiakan mereka kerana syurga bagi mereka bukannya di luar jasad tetapi letaknya di kalbu masing-masing. Kaya raya tidak semestinya bahagia. Itulah sebabnya kadang-kadang ada si bilionaire yang mati membunuh diri atau ketagihan dadah, si hartawan yang murung, si kaya yang berpoya-poya hingga rebah dan banyak lagi contoh-contoh bahawa harta kekayaan tidak semestinya membawa bahagia. Sebaliknya orang yang hidup sederhana berbasikal tua sekalipun mampu mengecapi bahagia. Pokok pangkalnya, untuk berasa bahagia, dalam hati perlu ada iman dan rasa bersyukur di atas apa sahaja nikmat yang dikurniakan oleh Allah s.w.t.

Seorang yang tidak pernah berasa bahagia ialah orang yang cetek imannya, rendah ilmu dan akhlaknya dan tidak pernah cukup dan syukur dengan apa yang ada padanya. Diberi betis hendakkan peha, diberi peha hendakkan dada, diberi 'dada'(dadah jika dibaca macam Samy Vellu) dia hanyut. Walaupun elok sihat, debab, gemuk, cukup makan, cukup pakai, masih lagi tak puas hati dengan hidup dan juga dengan apa yang sedang dikecapinya. Kalau segala usaha dan ikhtiarnya untuk mendapat lebih dan lebih lagi hanya untuk berbakti dan membantu yang kurang bernasib baik serta yang lebih memerlukan, memang le itu sifat yang sehabis mulia. Kalau sibuk nak naik ke atas, memenuhkan perut dan kantung sendiri semata-mata, rosaklah maksud dia diturunkan ke dunia ini. Mana janji-janjinya dengan Allah semasa menyanggupi untuk dihantar dan dihidupkan di atas dunia ini?

Sememangnya jika hendak dibandingkan kenikmatan dan 'kedahsyatan' syurga dengan apa yang ada di dunia ini memanglah saujana panggang dari api. Dunia ini hanyalah umpama bayang-bayangan syurga semata-mata. Segala yang baik, cantik dan sedap di dunia ini adalah bayangan syurga. Contohnya, hidup yang berkasih sayang, akhlak terpuji, orang-orang yang cantik menawan (walaupun tidak sehebat bidadari), makanan yang lazat dan keindahan alam ciptaan Allah adalah beberapa bayangan syurga yang boleh kita lihat. Kekayaan dan kemewahan hidup di dunia ini tidak terbanding langsung dengan kenikmatan berada di syurga. Cubalah lihat kemewahan di dunia ini sebagai hanya sekelumit bayangan kesenangan di syurga, bukannya untuk dikejar bagai nak rak kerana memang kita tidak akan pernah berasa cukup kerana nafsu kita tidak akan dapat dipuaskan di atas dunia ini. Hanya di syurga sahajalah segala jenis nafsu dapat dipuaskan. Orang yang dapat mengalahkan hawa nafsunya di dunia ini adalah orang yang kuat dan kental jiwa dan rohaninya.

Kadang-kadang terfikir juga secara bodoh-bodoh alang, kalau di dunia ini kita dapat bersabar dan penuh redha melihat kemewahan orang yang berharta, berkereta mewah dan berumah mewah sedangkan kita hanya cukup makan serba serbi mungkinlah Allah akan menggantikan keinginan dan kekempunanan kita itu dengan lebih dahsyat lagi di syurga nanti. Dengan syarat janganlah pula kita tidak sabar lalu cuba-cuba pula nak mengejar keinginan itu tadi dengan cara yang kotor dan jijik.

Fikiran bodoh-bodoh alang satu lagi, jika kita masuk apa-apa peraduan atau pertandingan (yang mematuhi syarak) dan tidak menang, kita redha dengan kekalahan itu, mungkin kita akan digantikan pula dengan ganjaran yang lebih besar lagi di syurga nanti. Lebih besar lagi daripada hadiah pertandingan atau peraduan itu tadi. Oleh itu, apa-apa keinginan yang kita tak dapat atau tak mungkin dapat di dunia ini, sabar dan redhalah sepenuh hati dan berdoalah banyak-banyak supaya Allah permudahkan rezeki kita di dunia ini. Kalau tak dikurniakan bagai yang diminta tu, maknanya Allah sedang menangguhkan ganjaran itu dengan yang lebih besar lagi di syurga nanti. Mungkin kalau ianya diberikan semasa di dunia ini kita akan alpa, lupa diri dan berbuat kerosakan.

Kalau melintas sebuah Ferrari, Porsche, Bugatti atau entah apa-apa lagi kereta keluaran terbaru, pandanglah dengan sebelah mata aje, tak payah le nak obses atau takjub sangat kerana di syurga nanti tak dapat nak dibayangkan bagaimana rupa kenderaannya. Bayangkan kereta macamana yang akan Allah ciptakan di syurga nanti, tak main la macam kereta-kereta buatan manusia ni yang mempunyai seribu kelemahan. Sehebat-hebat ciptaan manusia, sudahnya jadi besi buruk juga bila sampai masanya.

Akan tetapi, bagi yang mampu dan yang ada-ada apa salahnya, gunakanlah segala kemewahan tadi sambil mensyukuri nikmatNya di samping tidak lupa pula berbakti kepada yang tiada-tiada. Buat memujuk hati orang yang tiada-tiada ni, ingatlah dengan amalan soleh anda yang tip top, bukan setakat kereta mewah, kenderaan yang..yang..tak tahu nak bayanglah, bayangkanlah sendiri, akan menanti di syurga nanti. Di syurga mungkin tak perlu kereta pun, terbang sahaja ke sana ke mari bak burung-burung yang lepas bebas. Yang penting, selagi kita masih berada di dunia ini, mohonlah keampunan dan mintalah kebaikan atau rezeki banyak-banyak dengan Allah s.w.t kerana Allah Maha Kaya dan sedikitpun tidak akan terkurang khazanah Allah itu.

Jika syurga telah terletak di hati kita, segala impian dan tujuan hidup kita hanya akan berpaksikan semata-mata ke arah mentaati Allah, takut dan harap samada Allah akan pilih atau tidak kita memasuki syurganya, atau sekurang-kurangnya berharap terlepas dari segala seksaan kubur, Mahsyar dan Sirat. Jika anda takut tidak akan terpilih ke syurga, maka berusahalah untuk hidup dengan memperhambakan diri kepada tuntutan-tuntutan agama, jauhi kemungkaran, hiduplah dengan memberi manfaat kepada segala makhluk yang ada di bumi ini dan banyakkan memohon ampun daripada Allah yang Maha Agung. Kita tidak tahu samada Allah redha atau tidak dengan segala perbuatan dan amalan kita di atas dunia ini. Jika Allah redha, selamatlah kita selama-lamaya, abadan abada, kerana kehidupan di dunia ini tidak lebih dari hanya satu persinggahan yang amat singkat. Ayuh sang musafir sekelian! persembahkanlah yang terbaik untuk Allah s.w.t sebelum kita sampai ke destinasi abadi kita.

Mozar : Kalau masa sekolah dulu, kita pasti rasa optimis akan sampai ke umur dewasa, berkerjaya, berkahwin, beranak pinak dan bercucu cicit. Kalau dah bercucu cicit nanti apa lagi benda yang tinggal untuk dioptimiskan lagi selain rasa perlunya kembali kepada Allah dengan penuh persediaan.

Wanita : "Oh Ling! Kau buatku terasa seperti di syurga."
Lelaki : "Hahaha hihihi huhuhu..Ye la tu. Aku pulak...hahaha..rasa..hahaha seperti di...neraka..kahkahkah."

No comments:

Post a Comment

Pecah kaca pecah cermin, lepas baca harap komen...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...