Thursday, March 8, 2012

Hari Ini Hari ...........Ku!

Bagaimana hari anda hari ini? Ada sesuatu yang menarik berlaku tak? Kalau hari ini hari bosan anda, bawa-bawalah baca entri yang membosankan ini sebab saya sendiri pun bosan nak menulisnya. Kalau masih bosan juga pergi tengok cermin dan tengok sendiri muka bosan anda yang buruk tu. Hakikatnya, setiap hari apa yang akan anda hadapi dan alami adalah berbeza-beza. Mungkin hari ini lebih baik atau lebih buruk dari semalam. Mungkin hari ini akan membawa seribu satu harapan baru dalam hidup anda dan mungkin juga hari ini adalah hari terakhir anda bernafas di atas muka bumi ini (yang ni ramai yang takut, tiba-tiba segar balik muka bosan tadi). Apapun, di bawah ini dibentangkan beberapa jenis label-label hari yang memang dekat dengan kehidupan anda sehari-hari. Layankan!

Hari Gembiraku
Jika anda gembira tentu ada yang sedang membuat hati anda berbunga-bunga hari ini. Contohnya, anda menerima kenaikan pangkat atau kenaikan gaji. Ataupun hati sedang berbunga-bunga cinta hasil dari cinta yang berbalas setelah sekian lama bertepuk sebelah tangan. Ataupun gembira kerja-kerja anda yang tertangguh sekian lama kini telah beres. Paling tidak anda berasa gembira kerana mak pak mertua tak jadi nak datang bertandang berbulan-bulan lamanya di rumah anda (kes menantu hantu kubur).

Hari Malasku
Yang ni memang semua orang biasa mengalaminya saban hari dan malam. Kalau boleh tiap-tiap hari nak diisytiharkan sebagai Hari Malas. Nak bergerak dari keadaan rehat dan bersenang-senang memang le azab. Tak ramai orang yang tersangat rajin di dunia ini melainkan yang malas-malas belaka adanya. Yang malas pergi kerja pula alih-alih aje ambil MC beli. Hari Malas ni sinonim atau sepupu sepapat le dengan Hari Ngular atau Hari Ngulat. Namun, kes malas yang paling melampau ialah bila seseorang berkata, "Nak cerita pun malas".

Hari Bodohku
Kadangkala, dalam sesuatu hari kerja-kerja anda langsung tak menjadi. Buat A jadi C. Buat ABC jadi XYZ. Masak ikan 3 rasa jadi 1 rasa (uwekkk, tak sodap!). Terasalah teramat bodohnya anda hari itu. Maka layaklah hari itu digelar Hari Bodoh anda. Di hari bodoh itu juga bersiap sedialah untuk anda diperbodoh-bodohkan orang. Di hari itu juga anda tidak digalakkan berhubung dengan sesiapa kerana takut-takut kebodohan anda akan jelas dilihat orang. Kalau sengaja buat-buat bodoh atau memang asalnya 'bodo' takpe. Hari Bodoh ini sewaktulah juga dengan Hari Sengal, Hari Tengin, Hari Bengap dan Hari Tak Berapa Cerdik.

Hari-Hari Mauku
Yang ni bahaya sikit. Pantang tersentuh, mau. Pantang terlihat, mau. Pantang diajak, mau. Sedar-sedar anak dah 20 orang, masih lagi mengaum. Kalau hari-hari mau beef steak, chicken chop, pizza, burger dan pelbagai lagi makanan segera susah juga. Mau sampai beratus-ratus kilogram kolesterol tersumbat dalam badan.

Hari Naik Hantuku
Hari ini adalah hari yang anda paling marah, lebih marah daripada Angry Bird yang kecurian telur oleh sang babi. Apa yang melintas di depan mata nampak macam kecik besar, kecik besar aje. Sebab-sebab yang lazim termasuklah dimarahi bos, kehilangan barang, duit tarak, tertipu tertipah dan macam-macam lagilah yang membuatkan anda naik hantu. Masa tu jangan berani nak dekat orang yang naik hantu ni. Silap-silap kena cekik, kena parang atau paling kurang kena jegil dengan kening naik sebelah persis Ziana Zain.

Hari Wanitaku
Jangan salah faham ya, ini bukannya hari anda bersifat seperti wanita pula, tapi hari wanita dalam hidup anda, bersempena hari ini adalah Hari Wanita Sedunia. Sementelah itu saya ingin berterima kasih kepada semua wanita-wanita solehah dan yang berjaya serta berjasa menjadikan saya manusia selama ini.

Banyak lagi sebenarnya hari itu, hari ini sedunia yang kita sendiri boleh labelkan. Sampaikan kalau ada 2,3 orang pakai baju berwarna sama pun kita dah kata Hari Ungu Sedunia, Hari Kelabu Sedunia dan macam-macam warna hari lagilah. Yang pentingnya anda enjoy dengan hari-hari anda walau hari apapun yang anda labelkan kepada hari-hari anda. Jika anda 'menikmati' setiap hari yang anda lalui, anda akan terasa masa beredar begitu pantas. Sedar-sedar dah hari Isnin balik, sedar-sedar dah hari Jumaat balik.

Mozar : Hari ini hari membadakku. Dari pagi lagi rasa macam nak membadak aje memanjang tapi tak boleh sebab hari ni hari kerja. Qadha hujung minggulah nampaknya.

"Grrrwwwrrrr!!! (geremmm...I) You won't like it if I'm angry. Today is my bad...hair day!! Groarrrrr!!!!"

No comments:

Post a Comment

Pecah kaca pecah cermin, lepas baca harap komen...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...