Friday, March 2, 2012

Selepas 99 Entri

99 entri telah berlalu. Maknanya entri kali ini adalah yang ke 100. Pelbagai rencah dan warna tulisan telah dicuba. Entah apalah tanggapan para pembaca terhadap penulisan saya. Bermula dengan menagih respon dan komen dari para pembaca dalam beberapa entri-entri terawal nampaknya tak jalan. Maklumlah blog yang tak popular, siapalah yang nak komen sangat. Namun, terima kasih kepada saudara Eyman Hykal, Gigi Palsu dan beberapa Anon yang mempelopori dan memecah tanah melayangkan komen-komen. Selepas dari itu blog ini terus-terusan sunyi dari sebarang komen. Tak apalah, asalkan ada yang sudi membaca. Lebih bermakna lagi sekiranya ada pembaca yang mendapat inspirasi dari tulisan-tulisan saya selama ini. Sekoman-koman blog ini dalam seminggu tak pernahlah lagi sampai kosong dari sebarang pelawat. Memang sentiasa ada, walaupun seorang. Kadang-kadang datangnya dari nun jauh merentasi benua. Mungkin ada yang hanya tersesat ataupun blogwalking. Tapi kalau dah 4,5 kali datang melawat bukanlah blogwalking lagi namanya. Terima kasih kepada para pembaca tidak kira di mana sahaja anda berada di sudut dunia ini.

Tiada siapa yang sempurna di dunia ini, yakni semuanya tidak maksum seperti Nabi s.a.w, yang terpelihara dari sebarang dosa dan kesilapan. Saya juga tidak lari atau berjalan dari membuat kesilapan. Kadangkala ada entri yang menghiris dan mengguris, kadangkala memualkan tekak dan kadangkala bisa mencebikkan bibir pembaca. Minta maaf ye jika ada yang tersentap hati dan perasaan sehingga mentalak tigakan blog ini. Realiti itu kadangkala menggigit.

Apapun situasinya, saya akan terus menulis dan menulis di blog ini. Banyak perkara yang kadangkala datang tiba-tiba di benak yang ingin dikongsikan bersama pelayar-pelayar di luar sana. Kadangkala sekadar menyatakan ketidakpuasan hati terhadap sesuatu perkara, kadangkala ingin membuat kritikan sosial yang pedas dan sinis, kadangkala ingin berkongsi kisah peribadi dan kadangkala sengaja menulis bahan-bahan ringan tapi 'ada makna tersirat' di sebaliknya. Apapun terpulanglah kepada pembaca samada faham atau tidak, suka atau tidak, benci atau tidak. Setiap entri adalah umpama satu buah tangan terbaru untuk pembaca. Berdebar menunggu reaksi pembaca. Tapi disebabkan tiada lagi sebarang komen dari pembaca, nampaknya kini debaran itu memang tiada langsung. Nak tulis apa-apa topik pun dah tak kisah dah.

Akhir sekali, bagi yang telah kenal dan suka dengan blog ini, teruskanlah menyokong dan menjadi peminat tegar. Jika buruk beritahu saya, jika bagus beritahu kawan. Bagi yang terjebak atau yang terserempak dengan blog ini pula, janganlah takut atau malu-malu untuk meneroka ke entri-entri yang lain atau yang terdahulu. Semoga anda akan mendapat sedikit sebanyak manfaat dari mana-mana tulisan saya ini. Yang baik itu datangnya dari Allah s.w.t dan yang buruk itu datangnya dari hawa nafsu saya yang lemah ini. Yang hangit tu datangnya dari bau ketiak anda sendiri ataupun lauk-pauk yang sedang ditenggek di atas api. Pergi tengok cepat!!! kang terbako lak rumah.

Mozar : Berharap dapat mengekalkan momentum penulisan sehingga 9999 entri and beyond! Masa tu mungkin dah bongkok tiga dah kot. Semoga Allah s.w.t mengurniakan kesihatan yang terbaik buat saya dan juga anda untuk sepanjang hayat. Amin.


Dipersembahkan di sini suatu yang pembaca semua tak dapat lihat. Prestasi blog ini masih di tahap suam-suam botol susu aje. Entah-entah makin menyejuk aje.

No comments:

Post a Comment

Pecah kaca pecah cermin, lepas baca harap komen...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...