Monday, February 20, 2012

Me'Refresh' Kegembiraan

Anda terasa letih, bosan dan dungu sehari-hari tanpa anda sedari sebab musababnya? Kalau anda tahu sebabnya takpe. Boleh cari jalan penyelesaiannya. Yang jadi masalahnya ialah bila anda pun tak tahu entah kenapa anda rasa bosan dan tidak bermaya dalam menjalani kehidupan sehari-hari. Rutin ke tempat kerja dan pulang ke rumah sangat-sangat membosankan. Lama-lama anda boleh terkena tekanan mental. Ini keadaan yang bahaya kerana ada kajian menunjukkan bahawa 1/10 dari rakyat Malaysia menghadapi kemurungan atau masalah mental. Jangan tanya dari mana kajian tersebut, saya pun tak ingat. Mungkin sekarang ini peratusannya semakin besar.

Anda perlu berasa gembira dengan kehidupan yang anda lalui sekarang tidak kira bagaimana keadaan fizikal anda, tempat tinggal anda mahupun pekerjaan atau 'pengangguran' yang sedang anda lalui sekarang. Tapi, buat yang menganggur tu jangan pula gembira tak bekerja tak tentu pasal, ada caranya untuk anda merasa gembira di samping tidak mengalami stress. Buat la apa yang patut asalkan halal dan berkat. Tidak susah sebenarnya untuk mencipta kegembiraan walaupun sekelumit. Cuma anda perlu pandai mengeksploitasi keadaan ataupun mengubah suasana kepada yang lebih baik.

Sebelum apa-apa, tanya diri anda sendiri. Pernahkah anda merasa gembira? Sekurang-kurangnya anda pernah tahu bagaimana rasanya gembira itu dan apakah pencetusnya. Namun, sesuatu yang menggembirakan anda hari ini tidak semestinya akan menggembirakan hati anda buat selama-lamanya. Di sinilah kebijaksanaan anda diperlukan untuk me'refresh' semula kegembiraan hidup anda supaya anda kekal gembira sepanjang masa.

Terlalu banyak sebenarnya perkara yang boleh membuatkan anda berasa gembira. Anda hanya perlu pandai menerokainya sahaja. Di sini ada beberapa syor yang ingin saya kongsikan bersama anda supaya anda dapat me'refresh' semula kegembiraan dalam hidup anda agar hidup anda lebih bermakna.

1) Yang tertinggi darjat dan keutamaannya supaya hati gembira secara berpanjangan ialah dengan kita mentaati perintah Allah s.w.t. Hati yang patuh kepada suruhan Allah s.w.t akan merasai ketenangan yang tidak boleh digambarkan. Bahagia rasanya apabila perintah utama seperti solat dan berpuasa dapat dilunaskan dengan sempurna, tapi bukan seperti yang 'melepaskan batoq di tangga' atau menganggapnya sekadar kewajipan. Buat betul-betul. Belajar dan mengaji segala kesempurnaan di dalam ibadat-ibadat anda. Jika ibadat anda sempurna anda tidak akan merasa bersalah lagi di dalam diri. Refreshkan pengetahuan anda dalam beribadat, pasti anda merasai kemanisan beribadat itu dari hari ke hari. Bagi yang hanya pandai baca surah Al Fatihah dan Al Ikhlas, cuba-cubalah pula menghafal surah-surah yang lebih panjang lebar. Sedar-sedar anda sudah boleh pula menghafal surah Al Baqarah. Pasti solat anda akan lebih bermakna dan berkualiti daripada membaca surah-surah pendek yang mana makmum yang mengikut pun tak sempat nak habiskan Al Fatihah.

2) Cara paling mudah dan tanpa mengeluarkan belanja pula untuk gembira ialah dengan melakukan sedikit pengubahsuaian kepada sekitar tempat tinggal atau tempat anda bekerja. Contohnya ialah dengan anda mengubahsuai susunatur kediaman atau pejabat anda yang boleh membuatkannya tampak lebih segar dan sejuk mata memandang. Percayalah anda akan berasa gembira dengan perubahan walaupun sekecil memindahkan meja atau perabot anda ke tempat lain. Kalau anda seorang yang malas susahlah sikit. Makin berserabut tempat tu ada la. Mungkin juga ada yang berasa selesa dan gembira bertapa di atas tempat yang semak selerak. Ikut suka andalah asalkan anda bahagia!

3) Cara yang agak simple untuk menggembirakan hati pula ialah dengan bershopping atau membeli apa sahaja barangan. Ianya boleh jadi sekecil perbuatan membeli sebotol syampu yang berjenama baru. Benda shopping-menyopping ni memang telah lama diamalkan oleh kaum wanita sebagai terapi diri. Bagi yang tidak mampu, dengan membeli sehelai tudung getah/lycra ataupun sebatang pen pun mungkin cukup membuatkan anda berasa gembira. Lebih-lebih lagi barangan yang dibeli itu jenis yang tahan lama. Tidak semestinya barangan yang mahal sahaja yang boleh membuatkan anda berasa gembira. Bagi yang gemar makan pula sekali-sekala makanlah di luar di restoran-restoran yang 'ngetop'. Bagi yang kuat makan di luar pula sekali-sekala bawa-bawalah memasak di rumah. Buka buku resepi atau download resepi dari Internet. Jika sedap pastinya ia membuatkan anda cukup gembira. Esok lusa boleh masak lagi dan lagi dengan segala macam resepi.

4) Ada orang yang akan rasa bahagia dan gembira apabila dapat memberikan senyuman kepada orang lain. Ada pula yang gembira bila dapat memberikan gelak tawa kepada orang lain. Bagi yang suka memberikan senyuman tentu sekali anda seorang yang baik budi pekerti serta pemurah dalam segala hal. Ini termasuklah berbudi dan berbahasa dengan yang disegani rakan dan lawan. Orang yang mendengar bait-bait perkataan anda akan terasa terbuai-buai dan tersenyum di dalam hati. Sejuk telinga, sejuk mata memandang. Jika anda bukan dari kategori ini, cubalah bersifat sebegini kerana ia akan membuatkan anda dan orang lain sama-sama nyaman dan tenang di jiwa.

Bagi yang suka membuat orang bergelak ketawa pula, pastinya anda dari jenis 'pak lawak'. Memang seronok kalau lawak-lawak yang kita lontarkan menjadi-jadi dalam menggeletek hati orang lain. Buatlah lawak yang selamat, jangan merendah-rendahkan orang lain ataupun ber rating XXX. Dari syok sendiri langsung dapat penampar.

Bagi yang pemurah pula, tak kira dari segi wang ringgit, tenaga mahupun senyuman, buatlah yang terbaik setiap hari agar anda mendapat terapi dan kepuasan tersendiri dalam diri anda. Contohnya, bagi yang berwang, apa salahnya sekali-sekali membelanja rakan-rakan. Rakan-rakan yang berakal akan pantas mendoakan rezeki anda dipermudahkan Allah s.w.t. Bagi yang ringan tulang pula, apa salahnya sekali-sekala membantu kerja-kerja orang bawahan anda ataupun kerja-kerja yang anda tidak pernah lakukan selama ini. Pasti ianya akan memberi satu pengalaman baru dan mungkin kesedaran baru bahawa sesuatu kerja itu tidak semudah dari apa yang dilihat.

Bagi yang murah senyuman pula senyumlah kepada semua orang termasuk orang yang tidak anda sukai atau orang yang tidak menyukai anda. Bukankah senyum itu sedekah, jadi mengapa kedekut sangat? Tak luak apa-apa pun. Paling bemakna ialah melemparkan senyuman kepada orang yang sekian lama anda seterui. Senyuman akan menjadi pemula kepada perdamaian semula. Alangkah nikmat dan sebaknya jika senyuman anda dengan orang yang selama ini 'musuh' sudah mula menghulur bibit-bibit perdamaian. Dengan itu lengkaplah hari anda dengan senyuman meleret sampai ke petang.

Demikianlah sedikit sebanyak pandangan saya tentang cara-cara untuk mencapai rasa gembira dalam kehidupan sehari-hari. Kalau hati tidak gembira, anda akan mudah mendapat kemurungan serta kehilangan banyak benda-benda yang berharga di dunia ini. So guys! Cheer Up! Be Happy! Jangan banyak sangat melara rasa sampai terhanyut di lautan sepi. Refreshkan semula kegembiraan di dalam hati-hati anda.

Mozar : Kalau rasa gembira tepuk tangan! Kalau rasa gembira hentak kaki! Kalau anda tak gembira nak tepuk tangan dan hentak kaki pun macam lemau aje. Apa yang ada dalam hati akan terpancar dari sifat luaran dan perbuatan anda. Tak ramai yang dapat menyembunyikan kesedihan dan kegundahan dalam jiwa dari pandangan orang lain.

Hyena/dubuk ni jenis yang tak reti nak sembunyikan kegembiraan walaupun tengah kelaparan. Tak percaya, cuba dengar bunyi dia ketawa.

No comments:

Post a Comment

Pecah kaca pecah cermin, lepas baca harap komen...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...