Friday, February 3, 2012

Diam Itu Membahagiakan

Jika entri yang lepas bertajuk Diam Itu Menakutkan, entri kali ini adalah terbalik 360 darjah daripada entri tersebut. Sesuatu yang diam dan senyap itu kadangkala amat membahagiakan kita. Lebih-lebih lagi setelah mengalami kebisingan yang tiada hentinya. Contoh mudah, seorang pekerja kilang pembuatan yang sepanjang masanya mendengar bunyi mesin dan peralatan yang membingitkan pasti boleh membuatnya separuh gila. Bila sesekali mesin itu berhenti beroperasi, alangkah leganya telinganya. Doa-doa aje mesin tu supaya 'down' dan dapatlah berehat sebentar bersama-sama Kit Ket. Namun, bagi yang kaki mengulat dan mengular, senyap ke, bising ke, apa keadaan sekalipun pasti tak jadi hal punya. Kalau senyap sangat susah pula nak mengulat.

Kata orang diam-diam ubi berisi. Bahagianya tuan punya ladang ubi jika dalam diam-diam ubi-ubinya menjadi-jadi berisinya. Tapi ubi ni kata orang kalau dibiarkan sampai tua bangka akan jadi kayu pula, betul ke? Tak pernah pula korek-korek ubi jumpa kayu setongkol. Kalau sampai tahap macam tu maknanya tuan punya ubi tu dah terlalu bahagia dok diam-diam goyang kaki sampai tak pernah jenguk-jenguk kebun dah. Bahagia tak lamalah alamatnya.

Bagi warga penghuni kota-kota pula, saban hari dihidangkan dengan kebisingan hiruk pikuk kota tentunya agak merimaskan. Siang malam dengar bunyi enjin dan hon kenderaan. Anak-anak nak tidur pun susah. Bagi yang dah lali dan kebal tu, bunyi bom depan laman rumah pun dah tak dengar kot. Alangkah nyaman dan bahagianya warga kota andai dapat menikmati kesunyian buat beberapa ketika atau beberapa hari. Ramai yang akan merindui suasana permai desa yang hanya disulami kicauan unggas dan deruan air di sungai atau lautan sehingga tercetusnya ombak rindu yang menggamit kalbu. Maka itulah wujudnya percutian di Homestay (walaupun sekarang Homestay telah disalahguna sebagai gelaran bagi rumah tumpangan) bagi menggamit warga kota menikmati suasana 'alami' yang indah dan menyegarkan minda. Turut diburu adalah hotel-hotel yang terletak di tepian pantai nan indah. Kalau musim cuti sekolah jangan dekat la hotel-hotel sebegini. Fully booked.

Bagi cikgu cikgi pula, kelas yang diam dan kusyuk memang amat membahagiakan. Biasanya kelas budak-budak pandai memang selalu senyap macam ni. Cikgu pun tak payah nak terjerit-jerit memarahi anak-anak murid yang kacang hantu. Budak-budak sekarang bukannya takut cikgu. Cikgu yang takut murid. Silap haribulan kena ugut, kena pukul, kena calar kereta bagai. Bagi samseng-samseng sekolah, kalau cikgu-cikgu diam membatu dengan apa sahaja kerenah kejahatan mereka, itulah nikmat yang tidak terhingga bagi mereka. Bebas membuli, mencarut, bergaduh dan macam-macam yang busuk lagilah. Ibaratnya, dalam setandan pisang pastinya ada buah-buahnya yang rosak dan busuk. Cuma, pisang-pisang yang busuk jangan kacau pisang-pisang yang cantik-cantik, cukup!

Kadangkala pula diamnya sang suami merupakan satu nikmat sejati bagi isteri-isteri yang tak berapa nak solehah. Sesedap rasa menengking dan mengherdik sang suami yang bagai tikus jatuh ke tepung. Bahagia dan puas sangat kalau dapat suami yang diam dan tidak melawan bila dimarah, dikritik atau dimaki hamun. Apa punya bini la! Suami cepat meninggal tau kalau banyak sangat kena leter dan tunjuk ajar setiap perkara. Kadang-kadang, orang lelaki ni berdiam diri sebab tak kuasa nak memanjang-manjangkan cerita. Tapi si isteri ni pula memang hobi di masa lapangnya untuk memanjang-manjangkan cerita sampai jadi Sinetron Indonesia. Sang suami pula, senyap-senyap depa mula mencari tempat mengadu hal kepada wanita-wanita lain yang simpati dan prihatin. Di pihak isteri pula, kalau depa ni tak lepaskan kemarahan tu pada si suami yang 'bersalah' tadi, mahu mental jadinya dek kerana memendam rasa yang merobek-robek di dalam dada. Maaf ye bagi kaum-kaum Hawa yang berdesing telinga. Namun, masih ramai lagi sebenarnya isteri-isteri yang solehah yang sedang menempah mahligai di syurga nanti hasil ketaatannya kepada suami dan juga taat kepada tuntutan syarak. Tepuk dada tanya suami. Kalau suami respon negatif, tak dapek la nak nolong.

OKlah saya diam sampai di sini sahaja. Jumpa lagi di entri-entri yang akan datang, InsyaAllah. Di pihak saya pula, bahagianya rasa kalau dapat menulis dalam keadaan yang senyap dan sunyi kerana idea menulis akan datang mencurah-curah.

Mozar : Sempena menyambut hari keputeraan Nabi Muhammad s.a.w pada 5 Februari/12 Rabiulawal 1433H nanti mulut tu jangan le diam aje. Perbanyakkanlah selawat ke atas junjungan besar kita itu, mudah-mudahan kita mendapat syafaatnya di Hari Perhitungan nanti.

No comments:

Post a Comment

Pecah kaca pecah cermin, lepas baca harap komen...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...