Friday, January 20, 2012

Diam Itu Menakutkan

Fitrah alam dan kehidupan adalah diam, senyap dan sunyi. Bila ada pergerakan atau aktiviti barulah alam ini berbunyi. Air di danau, sungai dan lautan juga tidak akan mengeluarkan bunyi jika tiadanya pergerakan. Juga, tanpa suara dan tanpa bahasa kita tidak mampu berbunyi, ataupun tidak langsung difahami. Tanpa bunyi kita hidup di dalam senyap dan sunyi. Jauh sekali dari terhibur dengan kicauan burung, nyanyi-nyanyian serta alunan bunyi-bunyian.

Diamnya sesuatu itu kadangkala menakutkan. Berada di tempat yang sunyi sepi adalah suatu pengalaman yang menakutkan, contohnya. Berada di rumah besar, gelap dan sunyi adalah menyeramkan.  Mungkin banyak makhluk-makhluk lain yang berkongsi tempat tinggal. Tak ramai yang sanggup melakukannya. Sebaliknya, berada di bilik atau ruang yang penuh dengan manusia yang senyap dan sunyi juga sesuatu yang menakutkan. Sekurang-kurangnya kita takut untuk berkata-kata ataupun mengeluarkan sebarang bunyi. Takut jika ditoleh atau ditenung beramai-ramai. Contoh terbaik ialah di perpustakaan.

Diamnya seseorang boleh juga menakutkan bagi kita. Bayangkan pasangan hidup anda, ahli keluarga anda atau seorang kawan yang rapat tiba-tiba senyap tidak berbunyi. Pelbagai andaian pastinya akan menerjah masuk ke sanubari anda. Sakitkah dia? Marahkah dia? Merajukkah dia? Bencikah dia? Kecewakah dia? Jika tidak diselidiki anda tidak akan tahu. Tidakkah ianya menakutkan, melainkan orang yang berdiam itu sememangnya pendiam. Bagi sesuatu pasangan istimewa, diamnya pasangannya selalu sahaja dikaitkan dengan rajuk merajuk ataupun jiwa yang kacau. Berhati-hati bila pasangan anda itu berdiam diri. Itu salah satu senjata berbahayanya selepas airmata. Bersedialah dengan episod kacau bilau dan pujuk memujuk!

Permohonan yang didiamkan juga boleh jadi sesuatu yang menakutkan. Permohonan kemasukan ke IPTA/IPTS contohnya, akan mengundang resah andai anda tidak mengetahui hitam putihnya. Selagi surat tawaran kemasukan tidak sampai ke muka pintu, hati tidak akan tenang. Lebih menakutkan jika tiada sebarang jawapan di pihak anda setelah rakan sementelaah telah berjaya diterima masuk U. Anda terus menanti dan menanti sesuatu yang senyap. Kadangkala permohonan anda itu terlepas pandang. Mahu tidak mahu terpaksalah anda memanjat ke sana-sini menagih pengesahan atau penyemakan semula. Tidak ianya menggusarkan hati-hati para penuntut ilmu?

Diamnya sesuatu perniagaan juga satu punca ketakutan yang hebat bagi yang pernah menceburinya. Jika tempat bekerja anda senyap dan sunyi, tanpa satu ketikan keyboard komputer sekalipun, maknanya perniagaan anda sedang dalam bahaya. Senario ini boleh jadi berpunca dari tiada sebarang transaksi yang perlu dilakukan, pekerja ramai yang diberhentikan, pekerja mogok, talian Broadband telah dipotong (tiada internet) atau lebih seram lagi talian elektrik telah dipotong. Sesiapa yang melewati pejabat anda akan terdengar kesunyian yang menakutkan. Lebih-lebih lagi berasa takut ialah para-para pemiutang kerana terpaksa menanggung hutang lapuk yang bertepok-tepok.

Diamnya gunung berapi pula merupakan satu fenomena alam yang menakutkan. Gunung berapi pendam adalah merupakan gunung berapi yang tidak diketahui samada masih aktif ataupun telah mati. Ia boleh meletus semula walaupun setelah 600 tahun menjadi seakan-akan tidak aktif. Bagi penduduk yang berkampung di sekitar gunung berapi pendam, kehidupan mereka seumpama telur di hujung tanduk ataupun sedang hidup di atas bom jangka yang boleh meletus bila-bila masa. Syukur di negara kita ini tiadanya gunung berapi. Diam-diam ubi berisi, diam-diam gunung berapi, berapi di dalam. "Be afraid, be very afraid!", kata orang putih.

Bagi seorang blogger tegar, diamnya pengunjung dari sebarang komen, boleh juga mengundang resah. Tak menarik lagikah blognya di mata pengunjung, atau adakah entri-entri terbaru dibuat agak terlampau atau menyinggung sensitiviti? Atau adakah konsep cerita-cerita peribadi yang dipaparkan meloyakan tekak pembaca-pembaca dengan cerita yang di bawah kain pun diceritakan kepada umum? Ataukah memang blognya tidak lagi menarik perhatian setelah blogger tersebut beralih ke entri-entri yang baik-baik, tanpa sensasi, politik dan provokasi? Lebih menakutkan lagi seandainya laporan data pengunjung kosong dan tidak semeriah biasa. 

Kesimpulannya, diam itu boleh jadi menakutkan dalam perkara-perkara atau senario-senario seperti yang dipaparkan tadi. Sebaliknya, diam juga boleh membawa rahmat dalam perkara-perkara yang lain pula. Nantikan pula entri 'Diam Yang Membahagiakan' yang akan mengupas perkara-perkara yang sebaliknya pula.

Mozar : Ada ke sesiapa yang takut kalau blog Sembang Kala Senggang ini diam, senyap dan sunyi dari sebarang entri? Terasa nak poyo la sekejap.

No comments:

Post a Comment

Pecah kaca pecah cermin, lepas baca harap komen...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...