Wednesday, January 4, 2012

Pejam Celik, Pejam Celik Dah 2012

Terasa bagai baru semalam kita berbuat begitu begini atau berasa begitu begini. Ayat-ayat klise orang-orang masa kini. Terasa sangat masa berjalan begitu pantas sekali. Setahun pun dah tak terasa apa-apa dah. Kadang-kadang kita lupa bila masanya berlaku sesuatu peristiwa ataupun perkara penting dalam hidup kita. Bukannya sebab benda itu dah terlalu lama sampai tak ingat, tapi disebabkan masa yang terlalu pantas bergerak. Benda yang 2 atau 3 tahun lepas rasa macam baru tahun lepas berlaku. Itu yang konfius tu. Anak-anak dah berumur berapa tahun pun kita boleh tergagap-gagap nak bagitau orang. Ingatkan rasa macam masih mereka masih kecil lagi. Tanda-tanda akhir zaman. Banyak sangat dah tanda-tanda sebegitu. Tak tahu bila aje dunia ini akan berakhir.

Menurut kalendar purba tamadun Maya, 2012 ini dunia akan berakhir, yakni berlakunya Kiamat. Tolong jangan percaya langsung. Boleh terpesong akidah kita jadinya. Hanya Allah yang Maha Mengetahui tentang hari Kiamat. Menurut ceramah agama yang pernah saya dengar, selagi masih ada orang yang mengucapkan kalimah Allah dan manusia masih menjaga agama ini, dunia tidak akan kiamat (maaf, tak pasti pula dari mana sumbernya). Oleh itu, teruskanlah kehidupan. Kalau dah tahu dunia akan hancur, sekarang lagi manusia akan bertungkus lumus membuat pelbagai persiapan di saat-saat akhir. Manusia akan meninggalkan segala pekerjaan, perniagaan, hiburan malah seluruh kehidupan itu sendiri. Apa pula akan terjadi sekiranya Kiamat tidak berlaku seperti yang dijangkakan? Kita perlu bermula dari ground zero, semestinya. Bagi yang telah menjual segala harta benda dan aset akan termangu-mangu untuk memulakan kehidupan baru. Dari segi amalan kerohanian pula, teruskan beramal seolah-olah kita akan mati keesokan harinya. Kematian itu adalah pasti, tetapi Kiamat itu belum pasti bila masanya.

Setahun yang berlalu banyak juga menyaksikan peristiwa-peristiwa penting dunia sekeliling mahupun cerita-ceriti bagi diri sendiri. Ada yang manis, ada yang tawar, ada yang payau. Semuanya asam garam kehidupan yang mahu tidak mahu terpaksa juga kita telan. Kehidupan tidak selalunya dibentangkan dengan hamparan pelangi dan bunga-bungaan. Sesekali pasti kita diusik cubaan dan dugaan. Siapa yang tabah menghadapinya akan beroleh kemenangan. Yang membezakan setiap diri individu itu ialah bagaimana tahap kesabaran dan ketabahan diri dalam mengharunginya. Ada yang menang, ada yang tewas. Ironinya, ramai yang akan tewas dengan dugaan berbentuk kenikmatan dan keenakan hidup. Sepatutnya ujian sebegitulah yang paling senang kita lulus sebab ianya menggembirakan atau menyenangkan hati. Dalam pada bersyukur berbakul-bakul tatkala mula mengecapi kenikmatan, dalam senyap-senyap pula ianya mula terpesong ke sudut yang gelap. Sebaliknya pula, ujian berbentuk kesusahan dan keperitan lazimnya lebih mudah membawa jiwa manusia pulang ke azali. Tunduk dan akur dengan kebesaran dan kehebatan Allah s.w.t.

Bagi tahun 2012 ini, tidak sah juga rasanya jika tidak menanamkan azam sepertimana bermulanya tahun-tahun yang terdahulu. Seperti tahun-tahun berlalu, saya tidak meletakkan azam yang tinggi menggunung kerana khuatir tidak tercapai. Walaubagaimanapun, perlu diingat bahawa azam berazam ini juga merupakan satu 'niat' yang baik. Malaikat Atid pun pantas akan mencatatkan niat kebaikan itu di dalam buku catatan amal kita. Jika terlaksana dapat pahala, jika tidak, hanya dapat 'telur ayam'. Tiada salahnya berazam, cuma perlu berdisiplin, jujur dan amanah kepada diri sendiri. Jangan menipu diri sendiri. Bagi yang berjiwa tinggi ambillah pepatah bahawa 'tiada gunung yang terlalu tinggi dan tiada laut yang terlalu luas' untuk digapai atau dalam bahasa Inggerisnya 'ain't no mountain high enough, ain't no valley low enough, ain't no river wide enough. Maknanya, tiada yang mustahil dicapai jika kita tegar berusaha.

Pejam celik, pejam celik kita akan sampai pula nanti ke 2013, InsyaAllah. Bagi yang memilih untuk bersara di usia 60 tahun janganlah terlalu gusar kerana masa kini berlalu bagai air. Tanpa kita sedari masa itu akan sampai. Di sudut positifnya, anda masih ada pekerjaan untuk menyara hidup anda di ketika itu nanti. Di kala itu, anak-anak belum tentu mampu menyara hidup ataupun mungkin perubatan anda dek kerana keadaan ekonomi semasa di kala itu nanti yang sangat-sangat mencabar. Jagalah kesihatan anda bermula dari sekarang lagi semoga anda akan terus mantap dan sihat hingga tiba saat anda akan bersara nanti.

Semoga segala apa yang kita kerjakan di atas dunia ini mendapat keberkatan dari Allah Yang Maha Berkuasa. Berserah dirilah kepadaNya di kala suka atau duka. Selamat menjalani episod baru kehidupan di tahun 2012 ini. Selamat Tahun Baharu!

Mozar : Azam yang tidak pernah padam dalam diriku ialah berusaha untuk membahagiakan diri sendiri serta semua orang-orang yang berada di sekelilingku. Biar hidupku yang sekali ini adalah hidup yang penuh berbakti, bererti dan bermanfaat.

No comments:

Post a Comment

Pecah kaca pecah cermin, lepas baca harap komen...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...