Tuesday, January 8, 2013

Berperang Dengan Diri Sendiri Dulu...

...Sebelum nak berperang dengan orang lain. Perang memerangi ini memang sifat semulajadi yang bakal terbit andai jiwa telah diresapi perasaan amarah yang meluap-luap. Jiwa manusia ini memang mudah terusik apabila dilukai, dicabar atau disakiti. Marah juga kadangkala boleh terbit walaupun tanpa usul periksa terlebih dahulu. Jika benar dan jitu apa yang diserang itu, teruskan usaha yang murni itu agar kebenaran akan tertegak. Jika samar-samar, balik duduk berbincang dulu. Esok-esok baru serang pulak, sampai benda yang diserang betul-betul telah menikam, menindas dan mencengkam. Janganlah pula hanya berani bila berperang beramai-ramai, bila sorang-sorang sembunyi tangan, sembunyi taring, sembunyi belang. Biasalah, antara berperang dan juga mengamuk ada berbeza sedikit. Mengamuk boleh jadi tindakan seorang diri tapi memerangi adalah satu daya usaha berkelompok.

Cuma perlu diingat wahai penyerang, sebelum berperang dan memerangi, perangilah diri kamu sendiri dahulu. Perangi hawa nafsu yang jahat dalam diri terlebih dahulu. Buang sifat Mazmumah dalam diri dahulu, boleh? Kalau tak mampu, habis macamana? Lebih parah lagi kalau tak sedar langsung adanya sifat-sifat kotor dan keji yang telah bertapak sekian lama dalam diri. Kaji diri sendiri dahulu barulah tahu rohani kita cukup utuh atau tidak untuk berperang. Jika kaji punya kaji tak ada langsunglah misalannya sifat-sifat tak elok dalam diri, kaji pula amalan soleh kamu. Larat ke mengangkat gebar di subuh hari tatkala azan subuh bergema, larat ke mengangkat wuduk di subuh yang hening dingin, larat ke mengangkat tangan anak bini yang menindih di subuh hari, atau paling kuranglah, larat ke mengangkat takbir Qabliah atau Ba'diah setiap kali solat-solat fardhu? Kalau larat ataupun terlebih larat barulah 'takbir' kita akan laksana halilintar di jalan-jalanan. Sesiapa jua yang mendengar pasti gerun dan kecut perut.

Bertanya lagi dalam diri hendaknya, apakah sudah sarat ilmu di dada, tentang ilmu Fekah atau ilmu Tauhidnya, atau paling kurang ilmu Tajwid yang betul. Sudah teguhkah iman dan tawadduk kita? Sudah maniskah akhlak dan perkataan-perkataan kita? Bukan apa, bila telah tertakluk apa yang ingin ditakluki maka sudut gelap dalam diri tidak akan mudah menguasai. Kalau setakat sama sedondon dengan sang 'pengalah' perang, tak gunalah menjadi sang penakluk. Sudah cukup berimankah kita bila melihat hartanah serta wang ringgit yang bertimbun-timbun. Perkara wang ringgit ini sebetulnya memerlukan iman yang lain, fasa yang lain. Mudah sekali gelap mata bila melihat wang ringgit walaupun amalan soleh sudah tip top. Seringgit dua pun boleh terliur, inikan sejuta dua atau sebilion dua. Jika tidak pun sudah cukup amanahkah kita untuk membayar walau sekecil duit masuk tandas bila penjaganya tiada di pintu masuk? Ataupun sudah terbayarkah yuran perkhidmatan syarikat yang mencuci tangki-tangki bapak segala najis dan kotoran kita? Kalau sekecil itupun sudah 'fail', lebih baik bermuhasabah diri terlebih dahulu. Tahun depan cuba lagi bila diri sudah bersih sebersih-bersihnya.

Sukar sebenarnya untuk menjadikan diri maksum dari segala dosa dan perbuatan keji. Celik aje mata kita boleh berbuat dosa. Bila nak melelapkan mata juga kita mampu berbuat dosa. Di sekeliling kita tidak terkira banyaknya anasir-anasir penyumbang kepada dosa-dosa. Akan tetapi, untungnya Allah itu Maha Pengampun, bukannya agak pengampun atau ala-ala pengampun tetapi 'Maha Pengampun'. Apa lagi yang perlu kita dustakan daripada Tuan Pencipta kita. Memohon ampunlah banyak-banyak di atas keterlanjuran kita di masa lalu. Untuk menjadi seorang yang masih kekurangan dalam diri di samping masih menerima keampunan Allah, jadilah seorang pendakwah atau penyampai risalah-risalah Allah. Untuk menjadi 'pendakwah', anda tidak perlu menjadi seorang yang telah sempurna segala-galanya kerana memang mustahil untuk kita menguasai segala ilmu di atas dunia ini serta mustahil benar kita boleh terlepas dari melakukan walaupun dosa-dosa kecil sekalipun. Jika hendak menunggu sehingga menjadi seorang yang perfect barulah ingin berdakwah alamatnya sampai mati pun tidakkan mungkin. Seribu tahun takkan mungkin ataupun 'not in a million years'.

Kesimpulannya, berperanglah dahulu menentang sifat-sifat buruk dalam diri yang sentiasa ingin menonjol dalam diri sebelum kita berperang dengan benda-benda yang lain. Jika tidak, usaha kita itu akan mudah diperlekeh-lekehkan, diejek-ejek atau diayam-ayamkan oleh orang lain. Bak kata orang, 'canggih-canggih udang, tahi di atas kepala' ataupun 'berkokok berderai-derai, ekor bersalut najis'.

Mozar : Pernah main perang-perang aje masa kecil-kecil. Penat buat sound effect pakai mulut. Buang air liur je, musuh tak juga mati-mati.

No comments:

Post a Comment

Pecah kaca pecah cermin, lepas baca harap komen...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...