Thursday, January 3, 2013

Salahkah Jika Tidak Berazam?

Bila masuk sahaja tahun baru mulalah kita berkira-kira tentang azam baru yang terbaharu. Bosan dah rasanya kalau orang tanya tentang azam berazam ni kan? Lebih-lebih lagi yang telah hidup berabad lamanya. Salahkah kalau tak ada azam? Nak kata salah pun betul, nak kata tak salah pun betul, bergantung kepada tahap kehidupan anda. Jika anda pewaris harta benda yang tujuh keturunan pun makan tak habis, rasanya tak perlu ada azam kot. Akan tetapi, perlu pula ada azam untuk memperbaiki diri dari sudut kerohanian pula. Tidak bolehlah langsung tidak beramal ibadat, malahan perlu pula meningkatkan darjat ibadat itu ke tahap yang lebih tinggi pula.

Sebaliknya, jika anda tergolong dari penerima zakat ataupun yang kais pagi makan pagi, kais petang makan petang, amat perlulah anda berazam untuk meningkatkan taraf hidup anda. Tidaklah anda terus-terusan dibelenggu kemiskinan dan juga terhina di mata masyarakat yang kejam. Sekurang-kurangnya anda juga tidak akan tergolong sebagai golongan 'melukut di tepi gantang', yang mana ada tak menambah, tiada tak mengurang.

Jika anda seorang yang tidak pernah mempunyai azam, anda adalah orang yang sama - dulu, kini dan selamanya, kecuali rupa fizikal anda yang akan berubah-ubah. Jika anda memang selamanya malas serba serbi jadilah anda seorang yang kurus kering dan kusut masai, manakala jika anda seorang yang sedang 'diternak' oleh orang maka jadilah badan anda bagai ditiup-tiup saban hari dan tahun. Ibaratnya, yang miskin akan kekal miskin, yang sememangnya kaya akan mula beransur miskin.

“ Barangsiapa yang hari ini dia lebih baik dari semalam, maka dia dari kalangan mereka yang beruntung. Barangsiapa yang hari ini dia sama seperti semalam, maka dia dari kalangan yang rugi. Barangsiapa yang hari ini dia lebih teruk dari semalam, maka dia di kalangan orang yang celaka.” Mafhum Hadith Rasulullah SAW.

Dengar tu. Hadis ini sesuai sangat ditujukan kepada orang yang tidak pernah berazam. Azam itu hakikatnya adalah satu niat untuk menjadikan sesuatu keadaan itu lebih baik daripada yang sebelumnya. Contohnya, Jika kurang amalan, berazam untuk meningkatkan amalan. Jika kurang cerdik, berazam untuk meningkatkan ilmu pengetahuan dan jika kurang wang ringgit, berazam pula untuk mengubah nasib hidup. Maknanya, setiap hari dan masa anda perlu memperbaiki prestasi diri anda sendiri. Jika lebih teruk dari semalam kita terjatuh di kalangan orang yang seperti dinyatakan dalam hadis tadi.

Pada pendapat saya, sekecil-kecil ikhtiar untuk menjadikan diri lebih baik dari yang semalamnya ialah dengan anda mempelajari sesuatu yang baru setiap hari. Tidak kiralah samada anda belajar suatu resepi baru ke, belajar menjahit, mengait atau menyulam ke, belajar ilmu IT ke ataupun sekurang-kurangnya membaca sesuatu info yang berfaedah di dalam akhbar, majalah ataupun internet. Dengan cara ini anda akan sentiasa produktif dan semakin kaya dengan ilmu-ilmu baru. Bukan sahaja ianya dapat memupuk minat dalam diri malah ianya juga mampu memberikan anda satu punca pendapatan yang baru. Jangan berlengah lagi, mulakan dari sekarang!

Sekian dulu setakat ini sebagai pembuka tirai bagi tahun baru 2013. Semoga tahun ini segala azam saya dan juga azam-azam anda semua akan tercapai dengan penuh gilang gemilang. Bagi yang tidak mahu ada azam dan tidak pernah kenal apa itu azam, hayatilah pula konsep Hijrah. Jika itu pun tak dapat dilakukan, hiduplah anda dalam dunia anda sendiri yang serba membosankan saban hari.

Sementelah sebagai permulaan bagi tahun ini, di sini saya ingin sarankan bagi anda yang mempunyai anak-anak atau ahli keluarga yang sedang bersekolah ataupun sedang melanjutkan pelajaran di peringkat tertinggi, doakanlah yang terbaik untuk mereka. Bukan hanya doakan kejayaan cemerlang dari mereka, tetapi yang lebih penting lagi doakanlah agar mereka diselubungi kegembiraan sepanjang proses menuntut ilmu tersebut. Bukan senang sebenarnya untuk mereka menghayati ilmu-ilmu yang tidak mereka gemari, tetapi terpaksa juga dilalui. Silap-silap gaya mereka akan tersasar ke jalan lain atau hanya terhenti separuh jalan akibat jemu, jelak dan penat akibat keterpaksaan.

Mozar : Semoga anak-anakku dan juga isteriku akan tetap merasai kegembiraan dalam menuntut ilmu walaupun terpaksa melaluinya tanpa rela. Semoga mereka semua berjaya menjadi insan-insan kamil yang terus berbakti kepada agama, masyarakat dan alam semesta.


No comments:

Post a Comment

Pecah kaca pecah cermin, lepas baca harap komen...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...