Monday, April 11, 2011

Bila Hidup Penuh Kepalsuan

Baru-baru ini kita telah dihebohkan dengan kes telur ayam palsu yang berasal dari Tanah Besar China. Telur-telur itu dihasilkan dari bahan-bahan kimia yang meniru sebaik mungkin rupa asal telur. Sebelum ini kecoh dengan kes susu Formula Bayi yang palsu sehingga menyebabkan kematian bayi-bayi, juga di China. Kes yang sungguh tragis.  Kemudian kes susu yang dicampur Melamine. Jika dulu, kita hanya sering mendengar kes-kes wang palsu, tetapi kini kepalsuan telah menjalar ke perkara-perkara yang bukan wang ringgit. Maka tidaklah nampak jelas sangat seperti memalsukan wang ringgit yang asyik terkantoi sahaja. Terbaharu di negara kita, kes minyak masak dalam peket yang dicampurkan dengan minyak yang terpakai lalu dipek dan dijual semula. Minyak-minyak terpakai dibeli dari serata restoran dan premis makanan, tidak kira dari premis Islam atau bukan Islam. Halal haramnya ditolak ketepi ataupun tidak betah diambil tahu pun. Akhirnya pengguna juga merasai kesannya. Mujurlah si pemalsu juga seorang pengguna. 'What goes around comes around', kata pepatah Inggeris. Suatu hari si pemalsu juga besar kemungkinan terpaksa menagih simpati atau menyambung hidup dengan barangan-barangan palsu, setidak-tidaknya gigi palsu. Masa itu baharu tahu betapa seksanya terpaksa bergantung kepada peralatan palsu.

Nampaknya, satu demi satu barang-barang telah dipalsukan oleh manusia. Identiti juga boleh dipalsukan oleh manusia. Entah apa lagilah barangan lain yang telah dipalsukan sejak sekian lama tetapi masih tidak diketahui dunia.  Pemalsuan sebegini sedang dan akan terus berlaku demi keuntungan yang berlipat kali ganda. Ini kerja-kerja manusia yang tidak beretika dan hanya mementingkan diri sendiri. Walaubagaimanapun, tidak semua benda-benda palsu ini jahat dan tidak beretika.  Anggota-anggota badan palsu, gigi palsu, rambut palsu (ada baik, ada jahat), kanta mata palsu, jantung palsu dan sebagainya adalah benda-benda palsu yang luhur sifatnya.  Itu semua adalah kepalsuan yang amat diraikan di atas jasanya yang amat besar kepada manusia sejagat. Sedang di satu pihak giat mencipta kepalsuan yang bermanfaat, satu pihak lain pula tidak puas-puas mencipta kepalsuan yang membinasakan.  Mengapa tidak kepandaian di bidang peniruan dan penciptaan ini disalurkan ke arah benda-benda yang membantu menyambung nyawa atau setidak-tidaknya memberikan kegembiraan gantian di atas kehilangan pancaindera bagi insan-insan yang tidak bernasib baik, contohnya. Tidak putus-putus pahala yang akan diterima bilamana ilmu yang diperturunkan itu dimanfaatkan oleh segenap manusia.

Kepalsuan ada di mana-mana. Semudah-mudah membuat kepalsuan ialah mencipta janji-janji palsu. Tanpa perlu berusaha sedikitpun, janji palsu dengan mudah sahaja boleh dilafazkan. Si pendengar janji palsu diberikan harapan palsu yang akhirnya akan merobek jiwa raga mereka apabila janji hanya tinggal janji. Janji palsu dengan manusia belum tentu dibalas oleh manusia, tetapi berjanji palsu dengan Allah s.w.t, balasan yang setimpal akan diberikan olehNya dengan tujuan kafarah. Manusia juga biasa bermain dengan cinta palsu. Demi harta benda dan kemewahan, manusia sanggup berpura-pura mencintai pasangan yang kaya raya. Habis madu sepah dibuang. Masuk pintu depan, keluar pintu belakang. Semuanya demi kesenangan berlipat kali ganda yang juga bisa didapati dengan sekelip mata.

Manusia dengan kepalsuan memang tidak boleh dipisahkan. Kadangkala dikira 'tipu sunat', demi kebaikan pihak-pihak lain, kadangkala sememangnya ia menjadi kegemaran semulajadi. Siapa yang tidak pernah menyimpan VCD atau DVD palsu? Siapa yang tidak pernah memalsukan kerja rumah atau tugasan? Siapa yang tidak pernah memalsukan tandatangan? Siapa yang tidak pernah memalsukan emosi atau riak muka dan paling kurang siapakah yang tidak pernah memalsukan tidur? Namun, seandainya pemalsuan-pemalsuan yang pernah kita lakukan di masa lampau telah mendatangkan keburukan pada diri sendiri atau orang lain, bertaubatlah dan bertaqwalah kepada Allah s.w.t. kerana Allah s.w.t sentiasa menerima taubat hamba-hambanya.

Mozar : Pemalsuan barangan yang bersifat jahat kebanyakannya hanya indah pada rupa tetapi aspek keselamatan dan kualiti ditolak tepi. Berhati-hatilah dengan yang palsu.

Hi, saya pun ada mata palsu. Banyak pulak tu!

No comments:

Post a Comment

Pecah kaca pecah cermin, lepas baca harap komen...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...