Friday, April 22, 2011

Saya Mesti Kejam!

Apa kata kalau anda memicit, memijak dan menyepak seekor anak kucing atau arnab sampai mati atau setengah mati, lepas tu publish dalam Youtube macam yang ada orang pernah buat tu. Percayalah, dengan sekelip mata sahaja anda akan jadi terkenal seluruh dunia sambil diiringi cemuhan dan kutukan kaw kaw punya. Sanggup tak? Ala, bukan la nak suruh anda jadi sekejam manusia berhati haiwan buas tu. Tapi sekadar nak suruh anda berlaku kejam yang ala-ala manja aje. Jangan takut, takkan popularnya anda sampai ke Youtube pun atas kekejaman yang akan saya sarankan sebentar lagi.

Pertama sekali, anda perlu berlaku kejam terhadap diri anda sendiri dahulu. Maksudnya, jangan biarkan badan anda diternak dan dibelai manja terlebih-lebih sangat setiap hari. Maksudnya lagi, cuba tingkatkan usaha dan tingkatkan prestasi diri anda supaya anda muncul sebagai seorang yang 'baru' setiap hari. Sentiasa ada sesuatu yang 'surprise!!!' dari anda. Kejam sikit le kat diri tu supaya tidak asyik nak berehat, asyik nak mengulat atau asyik nak cari jalan mudah aje memanjang. Gerakkan sikit tulang temulang tu. Tegangkan siku tu! Kata orang tua-tua, orang yang malas itu ibarat 'tak lalu nak menegangkan siku', yang juga bermaksud malas tahap nak kasi straight lengan pun susah.

Kedua, kejam le sikit pada orang yang suka membuli, memperleceh atau memperbodoh-bodohkan anda jika anda tergolong dari kalangan yang lemah longlai dan gemalai. Bukan nak suruh tumbuk atau terajang balik pun. Kadang-kadang kesian juga tengok orang yang jadi mangsa keadaan sebegini. Dok 'menderita' aje tanpa berani nak membalas atau menunjuk perasaan. Kekejaman tahap yang paling minima yang boleh mangsa ini lakukan ialah dengan memboikot habis-habisan pemangsa-pemangsanya tadi. Buat la bodoh tahap cipan sedang menyorok ke, buat tak kisah ke, toye ke, bo layan ke atau seperti pembuli tu tiada kat situ ke. Akhirnya pemangsa pun akan naik fed up nak sakat. Kalau dilayan atau diberi apa-apa respon memang si pemangsa makin naik syok. Kalau sekiranya pula si mangsa tu tak melayan, si pemangsa pula mula naik kaki tangan, cepat-cepatlah pula belajar Taekwondo, Karate atau silat Kuntau untuk balas balik sikapnya yang keji itu. Oh! Kejamnya mangsa itu!!

Ketiga, anda layak berlaku kejam kepada si peminjam duit yang boros,  yang tak reti nak bajet gaji atau yang kaki botol, kaki judi atau kaki perempuan. Jangan tersirna langsung dengan pujuk rayu orang-orang yang macam ni. Kata-kata yang terbit dari bibir mereka ni mak aih! cair habis bila mendengarnya. Jangan sesekali anda jadi lilin, tapi jadilah batu belah batu bertangkup. Silap-silap 'ngap' aje orang yang macam tu. Kejam sikit kat orang macam ni. Bukan apa, di kemudian hari kita yang merana balik. Sakit hati bagai nak mencakar dada dengan kuku yang tajam. Si penghutang bebas mencari si pemiutang baru, sedangkan hutang-hutangnya yang lalu dikira lapuk dan langsai. Memang sakit hati dengan penghutang yang 'culas' macam ni. Nak diminta atau ditekan, dia pun habuk pun tarak. Itu pasal la along-along kena dari golongan yang hati perutnya telah dikeluarkan terlebih dahulu. Baru jumpa buku dengan ruas. Apapun, bukan nak suruh anda kejam seperti along pula, tapi tersangatlah kejamnya anda daripada apa jenis along sekalipun jika anda tidak bagi sesenpun kepada si peminjam tadi.

Keempat, anda perlu ada berperasaan kejam kepada budak-budak yang 'dikerah' mengutip derma bagi pertubuhan tertentu, ataupun menjual barangan bagi mengutip derma. Kes ini bagai ada satu sindiket yang mempergunakan kanak-kanak yang masih hingusan. Tempat mereka bukan di pasar-pasar atau di bank-bank. Mereka sepatutnya menghabiskan masa dengan didikan ilmu dunia dan akhirat di kelas-kelas. Anda perlu kejam sedikit dengan tidak menyokong untuk membeli barangan yang dijual oleh kanak-kanak ini. Jika terus-terusan pendapatan harian mereka lumayan, aktiviti ini akan terus berleluasa tanpa kekangan. Sebaliknya, jika anda simpati, anda boleh memberi duit poket kepada kanak-kanak ini yang tentunya lapar dan dahaga. Tapi dengarnya budak-budak yang tidak mencapai target pendapatan hariannya akan dibambu dan didera oleh pihak pengurusannya. Betul ke? Pihak berwajib perlulah turun padang terjah perkara ni supaya ianya tidak terus berleluasa.

Ini lagi satu episod, terpulanglah kepada anda samada nak kejam atau tidak. Perasan tak di merata-rata tempat yang ramai orang, ramai betul orang-orang yang minta derma nak buat masjid itu, masjid ini, sekolah tahfiz itu dan ini serta segala bagai lagi atas nama agama. Persoalannya, berapa banyak kutipan derma yang betul-betul untuk tujuan yang dinyatakan? Mungkin banyak sekali yang menipu. Ada tu, setelah bertahun-tahun, kutipan derma masih dibuat untuk masjid yang sama. Bila la nak siapnya agaknya. Kadang-kadang sangsi juga, sudahlah masjid yang hendak dibina itu di luar sempadan negara. Sudahnya buat-buat kejam, bulat dan tekadkan hati tak mahu bagi sesenpun. Yang jadi mangsanya kutipan yang betul dan asli. Kutipan derma tiruan (derma pun ada tiruan ke?) telah mencalit arang dan berbuat onar kepada yang betul-betul memerlukannya.

Kes seterusnya, kes pengemis palsu juga telah begitu berleluasa di merata bandar-bandar besar. Yang buat-buat buta, lumpuh atau capik pun berlambak. Kanak-kanak yang compang camping pakaiannya juga berlambak. Padahal ini semua sindiket. Tolong jangan bagi sedekah kat depa ni. Bagi anda yang bermurah hati dan berhati mulia tu eloklah salurkan sedekah anda ke tempat-tempat yang betul-betul memerlukannya. Kejam jangan tak kejam pada pengemis jalanan atau pengemis tempat makan ni. Anda hanya akan membantu memajukan lagi industri pengemisan ini (industri ke?).  Sakit hati tak kalau alih-alih pendapatan kemisan mereka lebih tinggi daripada pendapatan anda sendiri? Sakit hati tak bila alih-alih si buta simpan tongkat, simpan spek hitam lalu beredar menaiki teksi dengan selambanya? Sebelum anda sakit hati, baiklah anda tanamkan sikap kejam dan brutal dalam diri anda dengan tidak melayan si pengemis-pengemis yang datang menghurung bagaikan lalat itu.

Pendekata, penting tak sikap kejam tadi wahai kawan-kawan? tepuk dada tanya kejam. Orang yang memang semulajadi kejam sejak lahir tidaklah begitu relevan di dalam entri kali ini. Hanya orang-orang yang berada bagai di bawah lindungan Kaabah ataupun orang-orang yang selalu terpedaya, teraniaya atau tertindas sahaja yang patut menjadikan entri ini sebagai rujukan dan motivasi diri. OKlah panjang lebar dah ni rasanya. Kejam lak kalau kawan-kawan terpaksa membaca banyak-banyak. Dah le macam bagus je.

Mozar : Kadang-kadang pernah berlaku kejam pada diri sendiri apabila membiarkan diri terus nyenyak di subuh hari, subuh gajah pun tidak, subuh dynosaur pun tidak. Tak sedar apa balasan yang sedang menanti hasil perbuatan itu.

Antara dua orang ni yang mana lebih kejam? Yang berwajah bengis macam nak telan orang ke atau yang berwajah manis macam pakcik kantin? Try le tanya budak-budak kecik.

No comments:

Post a Comment

Pecah kaca pecah cermin, lepas baca harap komen...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...