Tuesday, August 9, 2011

Minggu Kedua Ramadhan : Kita Tengok Siapa Yang Kena...

Hari ini adalah hari ke 9 umat Islam menyambut Ramadhan yang penuh keberkatan ini. Bagaimana dengan amalan-amalan soleh anda setakat ini? Adakah kurus atau makin menggebu-gebu? Harap-harapnya kita dikurniakan kesihatan dan kekuatan untuk memperbanyakkan amal ibadat serta bersedekah di bulan ini.
Dalam Ramadhan tahun ini yang mana puasa dan raya dalam satu bulan ini, kita masih lagi tidak terlepas dari menerima godaan hawa nafsu walaupun syaitan-syaitan telahpun dirantai. Hasutan-hasutan syaitan sepanjang tahun masih berbekas dalam hati-hati kita. Itulah yang membuatkan kita leka dan selesa dengan kesalahan-kesalahan walaupun kita sedang berada di bulan yang mulia ini.

Dalam bulan ini juga yang lemah akan tewas manakala yang kuat akan beruntung besar. Bagi yang tewas, mereka sebenarnya telah 'terkena' dek hawa nafsu yang tidak jemu-jemu menggula-gula.

Pertama sekali, bila tiba bulan berpuasa, perkara yang 'wajib' berlaku ialah orang-orang yang meninggalkan puasa tanpa sebarang uzur syarie. Di mana-mana daerah sekalipun akan terdapat pemonteng-pemonteng puasa yang kena berkas dengan Jabatan Agama. Bukan serik pun, alih-alih kena denda/kompaun aje.

Saban tahun juga kita pasti akan mendengar kes-kes kanak-kanak yang putus jari, putus tangan dan kadangkala berlaku kematian akibat bermain mercun atau mercun buatan sendiri. Mereka-mereka ini terkena serpihan permainan atau senjata buatan sendiri. Dah dengar banyak kes yang sudah-sudah pun, masih ramai yang ingin mencuba nasib. Sampai bilakah kes-kes sebegini akan pupus?

Di bazar-bazar Ramadhan pula kita akan dapati kes-kes pembeli yang terkena tipu dengan membeli juadah-juadah yang telah basi. Rupa cantik tapi rasa fail, layak dibuang ke dalam tong sampah aje. Para peniaga kalau nak berniaga pun agak-agaklah, jangan buat terlalu banyak kalau dah nampak perniagaan tu tak berapa nak laku. Akibatnya, barang-barang yang tak laku di carry forward dan di top up mana yang perlu. Pelanggan juga yang akan terkena cirit birit, manakala peniaga tersebut pula akan terkena sumpahan Sang Kelembai. Alamatnya, gerai si peniaga tu akan kena pangkah besar-besar selama-lamanya.

Lagi satu kes terkena yang agak malang juga ialah apabila terpaksa kena ganti puasa yang terbatal oleh kerana beberapa sebab. Antaranya, termakan terminum tak betul waktu, terkena waktu haid dan kemuncak segala kemalangan ialah apabila terbersetubuh di siang hari. Kalau tak kena ganti puasa 2 bulan berturut-turut, kena pulak la bayar kaffarah.

Pendekata, kes-kes terkena ini adalah hasil samada kelemahan hawa nafsu individu itu sendiri, kealpaan nafsunya sendiri, kerakusan hawa nafsu orang lain dan tidak dinafikan juga kejadian semulajadi. Bila hawa nafsu masih berkuasa di bulan amal ibadat ini, maknanya puasa kita itu belum cukup sempurna lagi. Usahakanlah agar ianya sempurna dengan cara  kita menekan, menghempap dan melenyek hawa nafsu tersebut hingga selemah-lemahnya.

Mozar : Beberapa peristiwa terkena di bulan Ramadhan yang agak mengganggu ialah kes-kes seperti tragedi kemalangan atau pembunuhan. Jika tahun lepas, kita digemparkan dengan kes pembunuhan jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan 3 orang lagi. Tahun ini, kita sekali lagi gempar dengan kes pembunuhan Timbalan Pengarah Veterinar Negeri Perak, Dr Rohani Kassim. Tidak ketinggalan juga tragedi tanah runtuh di perkampungan Orang Asli Sungai Ruil, Cameron Highlands. Takziah diucapkan kepada semua anggota keluarga yang terlibat dalam kes-kes tersebut. 


No comments:

Post a Comment

Pecah kaca pecah cermin, lepas baca harap komen...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...