Monday, August 22, 2011

Fasa Ke 3 Ramadhan - Pembebasan Api Neraka, Lailatul Qadar & Kesibukan Hyper?

Alhamdulillah, syukur kita semua masih diberikan hayat untuk meneruskan ibadat puasa sehingga ke Fasa ke 3 ini yakni Fasa Pembebasan dari api neraka. Adakah Fasa 1-Rahmat Allah dan Fasa ke 2-Pengampunan Allah telah kita gapai sebaik-baiknya? Hanya Allah s.w.t sahaja yang tahu.

Fasa ini adalah kala Allah mengurniakan pembebasan dari api neraka kepada hamba-hambanya yang soleh di bulan ini (janganlah pula hanya beramal di fasa ini sahaja sedangkan fasa 1 & 2 di skip sewenang-wenangnya). Ini adalah perkara terpenting yang perlu kita capai dalam melayari kehidupan di dunia ini. Sudah diberi peluang untuk perlepasan hebat sebegini, apa yang ditunggu lagi. Perkataan 'Api Neraka' itu sendiri memang mudah dan santai pada sebutannya tapi kedahsyatannya tiada siapa yang dapat membayangkan. Bila selesai masalah terbesar ini maka akan aman bahagialah kehidupan kita di akhirat kelak.

Di dalam 10 malam terakhir ini kita dianjurkan juga untuk mencari Lailatul Qadar yang mana ia menjanjikan ganjaran laksana beribadat untuk 1000 bulan atau lebih kurang 83 tahun lamanya. Sekiranya telah 10 tahun kita berusaha ke arah itu maknanya telah 830 tahun pahala ibadat yang telah kita kumpulkan sebagai bekalan di akhirat nanti. Lumayan banget! Siapa yang nak beri sebegitu besar ganjaran.

Sebaik-baiknya dalam fasa terakhir inilah kita melipatgandakan usaha agar kita dapat beribadat dengan seoptimum mungkin (tapi bukan sampai meninggalkan keperluan hidup pula). Paling kurang, bagi yang dapat mengerjakan solat Isyak dan Subuh secara berjemaah, ia seolah-olahnya telah beribadat sepanjang-panjang malam. Itu belum lagi ditambah dengan bertarawih, bertadarrus, beriktikaf di masjid, bertahajjud, berzikir serta juga bersahur di akhir waktu. Semua amalan-amalan ini menjanjikan ganjaran pahala yang bukan sedikit. Maka dengan itu, marilah kita cuba rebut perkara-perkara ini yang hanya terdapat dalam 10 hari dalam setahun, yakni waktu yang betul-betul kemuncak bagi semua umat Islam.

Di manakah anda berada dan akan berada dihari-hari terakhir ini? Sudahkah anda menyediakan diri serta rohani anda untuk menuai pahala-pahala yang besar ini? Di dunia ini kita tak nampak semua bentuk-bentuk pahala ini. Jangan sampai kita menyesal di akhirat nanti sudahlah. Kalau di dunia kita boleh berasa iri kepada kehidupan mewah orang lain, mengapa tidak kita berasa iri terhadap ganjaran orang-orang yang berupaya mengerjakan amalan-amalan soleh begini. Semua itu adalah harta yang maha kekal abadi selama-lamanya tanpa terkurang atau tersusut nilai walau sedikitpun melainkan akan terus-terusan bertambah-tambah nikmatnya. Subhanallah! tak dapat nak dibayangkan.

Bagi kebanyakan orang yang rugi, fasa ini adalah fasa yang paling sibuk dalam setahun. Ketika inilah persiapan Aidilfitri menjadi keutamaan. Mana nak membeli dan menukar perabot baru, membeli dan menempah baju, membuat biskut raya, mencuci dan mengecat rumah dan macam-macam kesibukan lagilah. Berpada-padalah untuk membuat persiapan raya, asalkan jangan tertinggal perkara yang jauh lebih menguntungkan. Jangan pula jadinya, di dunia berhabis-habisan, di akhirat berhabuk pun tarak. Rugi dunia, rugi akhirat.

Buat semua umat Islam yang dikasihi sekelian, marilah kita menukar gaya hidup kita di bulan Ramadahan ini ke arah yang lebih mengutamakan amalan-amalan soleh, kurangkan pembaziran dan tingkatkan keimanan. Raya kita yang sebenar-benarnya ialah di akhirat kelak.

Mozar : Terlalu hebat beribadat tanpa menghiraukan keadaan dan hal ehwal semasa tak baik juga. Janganlah sampai tetamu yang datang beraya nanti dihidangkan hanya teh bujang sambil duduk bersila di atas lantai aje. Membeli keperluan raya yang ala kadar apa salahnya kerana Raya pula ialah masa untuk kita berkumpul, ziarah menziarahi, bermaaf-maafan serta mengeratkan lagi Silaturrahim sesama insan.

No comments:

Post a Comment

Pecah kaca pecah cermin, lepas baca harap komen...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...