Monday, August 1, 2011

Selamat Menyambut Ramadhan Al Mubarak

Selamat menyambut Ramadhan Al Mubarak semua pembaca sekelian! Terlebih dahulu mari kita renungi hadis-hadis berikut ini buat panduan :-

“Dia meninggalkan makanan dan minumannya dan syahwatnya demi Aku. Maka puasa itu untukKu dan Akulah yang langsung memberi balasannya.”
Maksud HR Bukhari

“Bagi orang yang berpuasa ada dua kebahagiaan. Bahagia setelah berbuka dan bahagia setelah ia dapat bertemu dengan Tuhannya pada hari Kiamat nanti.”
Maksud HR an-Nasa’i

Selamat 'menggali' pahala di bulan yang mulia dan penuh keberkatan ini. Sebaik-baiknya penuhilah sepanjang bulan ini dengan amal ibadat yang ikhlas dan bersungguh-sungguh. Tiada bulan lain yang penuh dengan lubuk pahala seperti di bulan Ramadhan ini kerana Ramadhan adalah penghulu bagi segala bulan.

Berpuasa mengandungi seribu satu macam faedah yang telah kita ketahui dan masih belum kita ketahui. Bulan berpuasa ini boleh dianggap sebagai satu bulan bagi kita menjalankan 'latihan praktikal' untuk menghadapi bulan-bulan seterusnya. Segala gerak geri dan perlakuan kita bukan sahaja diperhatikan Allah s.w.t, malah dilihat dan ditilik oleh sekelian manusia juga. Segala ketaatan yang dilatih dalam bulan ini akan berguna untuk melayari kehidupan di bulan-bulan yang lain pula.
Di bulan ini terdapat ujian-ujian bagi kita menahan atau melawan hawa nafsu. Bagi yang tidak tegar melawan hawa nafsu pastinya akan mengundang kemurkaan Allah dan cemuh cacian manusia juga. Jika tidak kuat menahan lapar dan dahaga, setidak-tidaknya orang di sekeliling akan marah ataupun paling kurang benci di dalam hati-hati mereka. Hukum dunia, jika tertangkap makan minum di khalayak, akan didenda dan diarak di dalam kereta mayat. Jika tidak kuat menahan nafsu berbuat maksiat pula, beribu juga mata yang akan memandang dan mencerca.
Bulan yang mulia ini janganlah dianggap sebagai bulan berlapar dan dahaga semata-mata. Seandainya berpuasa sekadar menginsafi orang-orang yang miskin yang berlapar, senarionya mungkin agak tidak sama. Semiskin-miskin seseorang itu, ia masih boleh meneguk air sepuas-puasnya dan masih boleh makan sekadar yang ada, sedangkan berpuasa semua itu langsung tak dibolehkan.

Hakikatnya, pengajaran dalam berpuasa itu lebih dari merasai kesengsaraan si miskin. Ia mengajar kita supaya boleh bertangguh terhadap segala keinginan yang mendesak dan menggoda. Keinginan untuk menikmati makanan yang lazat-lazat contohnya akan hanya dapat dicapai apabila tibanya waktu berbuka nanti. Di sinilah nafsu kita diajar supaya merasai kegusaran, kegetiran, kegundah gulanaan orang-orang yang miskin/susah dalam mengekang segala keinginan atau hajat duniawi mereka di kala diri mereka serba serbi kekurangan. Sebaliknya, orang yang berada akan mendapat apa sahaja yang dihajati dalam sekelip mata. Selain dari menahan lapar, manusia juga dididik dengan sifat sabar, tidak gelojoh dan berdaya tahan melalui larangan-larangan Allah dalam ibadat puasa itu sendiri. Jika hari-hari biasa, merokok itu 'dibenarkan', bila berpuasa perokok akan terpaksa menahan tabiat tersebut sehari suntuk yang mana ianya sangat menyeksakan mereka. Di situ daya bertahan dan sifat patuh dalam diri dapat dididik.

Hakikatnya, banyak lagi fadilat-fadilat berpuasa Ramadhan yang masih belum kita ketahui lagi. Andai kita bijak, kita akan melihatnya dari pelbagai sudut pandang yang lain pula. Bagi yang lemah atau kurus imannya, berpuasa adalah merupakan satu malapetaka yang menyusahkan hidup. Apa pun tak boleh! Astagfirullahhal azim, minta dijauhkan kita dari berperasaan sedemikian.

Mozar : Bagi perokok tegar, sepanjang hari tegar mendidik diri agar menahan diri dari merokok. Apabila sahaja azan Maghrib berkumandang, dendam kesumat terhadap asap serta merta dilampiaskan begitu sahaja. Orang sebegini perlu sahaja dihantar 'latihan praktikal' sepanjang tahun nampaknya.

Antara 3 perkara di atas yang mana satukah yang akan menggoyah iman anda ketika berpuasa?


No comments:

Post a Comment

Pecah kaca pecah cermin, lepas baca harap komen...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...