Tuesday, November 22, 2011

Emas Yang Sangat Manis

Syabas dan tahniah kepada Pasukan Harimau Muda Malaysia kerana berjaya memenangi Final Bolasepak di Sukan SEA ke-26, 2011 di Jakarta, Indonesia. Tidak dapat tidak, kejayaan mereka ini harus sekali dititipkan sebagai satu entri sebagai satu kenangan yang manis untuk dikenang, kalau dapat sehingga ke anak-anak cucu nanti. Bila menyelak-nyelak kembali lembaran blog ini pada tahun-tahun mendatang, kemanisan ini akan pasti terbit semula rasanya.

Untuk berita kemenangan ini yang dipetik dari Sinar Harian, sila klik link ini - Syabas Harimau Muda!

Walaupun Indonesia telahpun mengaut sebanyak 166 pingat emas setakat perlawanan ini berlangsung, tiada emas yang lebih mereka dambakan daripada kilauan emas yang satu ini. Banyak sekali sentimen kebencian, propaganda dan provokasi yang melatari pertemuan antara sang Harimau dan sang Garuda ini. Sokongan secara fizikal bagi perlawanan bolasepak sebegini adalah sesuatu yang dapat dibuat secara mega, yakni besar-besaran. Dikatakan hampir 100,000 orang penyokong Indonesia dapat hadir memberikan sorakan dan tidak kurang provokasi kepada pasukan-pasukan yang sedang bertarung sengit.

Melihat ke sisi lain yakni melihat keletah acara sukan yang sebegini kalut dan meresahkan, terfikir pula entah apalah tujuannya ianya terus diadakan. Semangat kesukanan yang dimomok-momok ternyata sudah agak pudar. Sebaliknya ia telah bertukar menjadi satu medan pertempuran dan tempat beradu siapa yang hebat dan siapa yang kononnya memenangi 'karma'. Perkataan 'pertemuan' atau 'pertembungan' telah bertukar menjadi 'pertarungan' atau 'pertempuran'. Pertarungan dari segi maksudnya hampir sekali kepada pergaduhan atau peperangan di medan perang. Sukan tidak sepatutnya menjadi medan peperangan, tetapi tidak lebih daripada salah satu cabang hiburan. Kita patut terhibur bila menonton sukan-sukan yang kita gemari, bukannya geram ataupun sakit hati.

Apa yang berlaku dalam kes ini, apabila sahaja gol terjaring, kita bersorak kegeraman, bukan kegembiraan. Dalam hati ada rasa 'padan muka', 'ambik kau', 'rasakan' dan apalagi ayat-ayat geram yang lain. Hanya apabila wisel penamat ditiup baharulah terselinap rasa bangga, sebak dan terharu akan kemenangan tersebut. Bagi yang kecundang pula, akan meratapi kekalahan serta menyimpan dendam kesumat. Andai sukan itu hanya untuk suka-suka, selepas sahaja tamat permainan, kedua-dua pasukan akan redha dengan adat permainan, ada yang kalah, ada yang menang.

Perasaan untuk menang atau 'membalas dendam' tidak akan wujud di dalam sukan-sukan lain seperti squash atau bowling contohnya, kerana sukan-sukan itu tiada rekod membalas dendam atau sentimen sakit dan menyakiti hati sesama negara-negara yang bertanding. Jika Nicol David kalah sekali duapun, rakyat Malaysia akan redha dalam beberapa minit seusai pertandingan, lantas hati akan berkata 'tak ada rezeki' atau 'cuba lagi dalam game yang lain'. Begitulah sepatutnya 'semangat kesukanan' itu berlaku dan tercerna.

Namun, perlawanan yang tiada sentimen atau sejarah hitam selalunya bukan satu sukan pilihan atau sukan yang 'panas' di hati masyarakat. Memang seronok dan berdebar-debar menyaksikan acara-acara sukan yang berserta misi balas dendam serta saling atas mengatasi. Orang-orang yang tidak pernah meminati sukan sekalipun akan turut serta memberikan sokongan serta menambah rencah. Memang seronok membangkitkan kemarahan penyokong-penyokong pihak lawan dengan pelbagai cara dan pelbagai kata-kata provokasi dan cemuhan. Sukan-sukan yang tiada unsur-unsur tersebut biasanya agak sejuk atau suam-suam kuku sahaja sambutannya.

Bukan untuk mendabik dada atau perasan bagus. Rakyat Malaysia diperhatikan mempunyai kewarasan yang agak tinggi dalam menangani keletah dunia sukan ini. Berpuluh atau beratus kali kita pernah gagal dalam pelbagai jenis sukan, lebih-lebih lagi sukan bolasepak. Bolasepak kita tidak pernah lagi bangkit untuk pergi jauh semenjak zaman Datuk Mokhtar Dahari. Namun, rakyat kita terus tegar menyokong tanpa jemu-jemu atau putus asa terhadap pasukan-pasukan kebangsaan kita yang silih berganti. Bila kalah kita redha dan terus menaruh harapan bahawa kita akan berjaya di masa-masa yang lain pula. Walaupun hanya di peringkat Sukan SEA yang sifatnya begitu 'asas' berbanding kejohanan sukan dunia yang lain, lihatlah di seluruh pelusuk Malaysia, rakyat jelata rata-rata terpaku di hadapan kaca TV sambil berdoa, berharap dan bersorak untuk pasukan kesayangan negara kita. Itu belum lagi menjejakkan kaki ke Piala Dunia. Sifat patriotik rakyat Malaysia masih utuh dalam hal-hal seperti ini walaupun dari pelbagai sudut anasir-anasir liar cuba merobek sifat patriotik ini dari dalam hati-hati rakyatnya.

Atas dasar semangat kesukanan yang tulen, syabas juga wajar ditujukan kepada seluruh rakyat Malaysia kerana tanpa sokongan anda semua, bolasepak hanyalah satu sukan yang terpinggir yang mana keputusannya hanya akan dibaca di dada-dada akhbar keesokan harinya. Pujian pula harus ditujukan kepada jurulatih, Ong Kim Swee, penjaring-penjaring gol dan juga penjaga gawang Malaysia, Khairul Fahmi Che Mat. Yang lain-lain pula bukan tidak penting, tetapi tidak disebut-sebut maka orang tidak akan begitu mengingati. Jika bukan kerana mereka yang lain, contohnya ramai yang dibuang padang, alamatnya 'bungkuslah' juga permainan itu. Atas sumbangan yang lain juga sebagai satu pasukan, pasukan Harimau Muda Malaysia akhirnya berjaya menggigit pingat-pingat emas yang sangat manis itu.

Mozar : Teringat bermain bola kampung, hari-hari team boleh bertukar-tukar orang mengikut undian. Main pun untuk happy-happy aje. Setiap hari bermula episod baru, tiada dendam-dendam kesumat.

Terimalah lagu Selamanya Harimau Malaya yang agak 'cool' ini sebagai hadiah menyokong bagai nak rak.

No comments:

Post a Comment

Pecah kaca pecah cermin, lepas baca harap komen...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...