Tuesday, November 29, 2011

Ayat-Ayat Orang Nak Mematikan Sembang

Kalau entri sebelum ini adalah mengenai Ayat-Ayat Orang Yang Tak Ada Modal Nak Sembang, kali ini mari kita semak pula ayat-ayat atau cara-cara orang nak mematikan sembang. Dah dapat modal bersembang dah 'terlebih sudah' pula. Ini masalah juga. Pernah jadi tak di mana anda terbersembang dengan si mulut murai, si bertih jagung, si mulut tempayan ataupun lebih dahsyat lagi yang suka 'mengebom' (sembang mengarut-ngarut dan merapu-rapu). Kalau dilayan, sampai lembu balik kandang dan seterusnya ayam berkokok semula pun tak habis-habis lagi cerita. Tak dilayan tak sampai di hati, nak dilayan pula kita yang bernanah telinga, fikiran pula melayang entah ke mana-mana.

Siapa yang tak pernah hadapi benda ni maknanya anda hidup dalam dunia tersendiri dan langsung tak bergaul dengan orang. Orang yang bergebang ni biasanya intipati utamanya ialah mengumpat berbakul-bakul ataupun ulangsiar cerita-cerita lama dia ataupun mengulangi cerita-cerita yang dah basi. Orang-orang yang mendengarnya akan pasti sampai rasa nak naikkan biji mata hitam ke atas kelopak mata seraya berkata-kata dalam hati 'daaaa' sambil mulut ternganga dan lidah nak terkeluar sikit. Betul tak? OK lah kalau tak betul pun rasa-rasanya anda pernah cakap atau buat perkara-perkara seperti di bawah ini untuk menghentikan perbualan dalam pelbagai situasi.

1) Buat-buat nak pergi tandas walaupun tak terasa nak membuang pun. Tapi kalau tak malu elok juga dilepaskan angin ketika itu sebagai menandakan anda sakit perut. Protttt!! ambik sebijik!

2) Buat-buat rasa lapar dan minta diri nak makan dulu. Tapi alasan ni bahaya sikit, kemungkinan besar si kepoh tu nak ikut makan sama.

3) Buat-buat tengok jam sambil berkata " Alamak lupa la..(sambil menepuk dahi tapi tak dinyatakan pula lupa apa, sehingga diterjah baru kelam kabut nak mereka cerita). Siap sedia dengan cerita yang konkrit OK!

4) Buat-buat kata yang anda dah lewat dan terpaksa gerak dulu, padahal boring nak gila dengar sembang si kepoh tu.

5) Sebutlah "Lihat, burung wak-wak!" ala-ala filem Kala Malam Bulan Mengambang sambil anda mengorak langkah seribu.

6) Kalau perbualan telefon pula eloklah dibuat bunyi "toooot toooot" ala-ala line putus, kemudian terus letak. Taktik sebegini elok benar dibuat pada telemarketer yang asyik mengganggu nak jual insuran atau kad keahlian. Kalau nak kejam lagi terus letak telefon tanpa sepatah kata.

7) Kalau chatting dalam facebook pula contohnya, susah juga nak mematikan chat dengan tiba-tiba bila di sana tengah rancak berchatting, tak sampai hati tak layan. Biasanya orang akan tulis, 'OK la saya ada kerja sikit'. Padahal nak chat dengan orang lain ataupun nak buka website lain. Terus offlinekan chat. Orang di sana tak nampak tak apa. Bye bye..!!

8) Akhir sekali, cara yang tidak kurang berkesannya ialah dengan anda menukar topik tiba-tiba kepada topik yang orang satu lagi tak gemar atau tak ada pengetahuan langsung. Mesti orang tu mula menganga dan kelihatan bibit-bibit kebosanan timbul di riak wajahnya. Masa tu, anda bolehlah angkat kaki bila-bila masa sahaja. Contohnya, ceritalah tentang aksesori kereta ataupun lumba kereta pada yang wanita ataupun ceritalah pasal barangan make-up atau beg tangan pada yang lelaki. Confirm sembang kencang termati di situ sahaja.

Mozar : Tiba-tiba terkedu tanpa kata bilamana pasukan Harimau Muda tiba-tiba tertewas dengan Bahrain dalam masa 6 minit sahaja. Sembang-sembang terhenti di situ tanpa berbuat atau berkata apa-apa. Senyummmm (kelat), tak perlu kata apa-apa.

No comments:

Post a Comment

Pecah kaca pecah cermin, lepas baca harap komen...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...