Friday, December 16, 2011

Enak Di Lidah Masterchef Belum Tentu Enak Di Lidah Kita

Anda ada menonton rancangan Masterchef di Astro? Agak menarik juga rancangannya, walaupun kadangkala ianya ditokok tambah dengan drama-drama kemarahan dan airmata. Tak kurang juga keadaan di mana peluh peserta-peserta menitis-nitis menambah perisa. Adakah masakan-masakan mereka nampak menyelerakan atau meloyakan? Bagi peminat makanan atau kaki masak pasti akan terliur dengan aneka jenis masakan yang dipaparkan termasuk yang tidak biasa kita makan mahupun lihat. Kebanyakannya makanan-makanan antarabangsa yang disediakan. Ada seorang kawan berpendapat jika dalam rancangan realiti nyanyian kita dapat mendengar sendiri serta mengadili sedap atau tidaknya suara dan nyanyian para pesertanya. Jika rancangan realiti masakan sebegini kita tidak tahu apakah rasanya masakan yang dimasak oleh peserta-peserta tersebut. Tahu-tahu jurinya sudah reject dengan mengatakannya tidak sedap atau tidak menjadi. Entah-entah pada kita yang berlidah tempoyak dan budu ni akan terasa sedap kalau diberi peluang merasainya.

Juri-juri yang mengadili masakan peserta-peserta sudah tentu mempunyai standard yang tersendiri tentang bagaimana sepatutnya sesuatu masakan itu berasa. Yang lari sedikit dari rasa yang sepatutnya akan ditolak sebagai tidak menjadi. Bahan-bahan yang digunakan bukannya setakat cabai, bawang dan rempah sahaja tapi entah apa-apa bahan dan tumbuh-tumbuhan yang digunakan sepanjang rancangan tersebut. Secara realitinya, tidak semua masakan-masakan yang nampak hebat tersebut 'kena' dengan lidah semua orang kebanyakan. Bagi masakan 'signature' seseorang chef contohnya, entah-entah hanya dia seorang sahaja yang gemar, orang lain akan muntah hijau bila memakannya.

Pengalaman makan di hotel-hotel berbintang-bintang, tak semua hidangannya sedap dimakan, malah kadangkala berasa pelik walaupun hiasannya menarik. Ada sesetengah orang yang tidak boleh 'masuk' tekaknya walaupun makan sesimple sekeping pizza. Ada juga orang yang tidak boleh 'masuk' makan spaghetti beserta sosnya. Sebaliknya pula, ada orang yang ala-ala urban yang tidak makan tempoyak, cencaluk, budu atau belacan. Tak kisahlah kan, masing-masing punya selera tersendiri. Kalau dipaksa-paksa makan termuntah monggek pula. Cuma yang tak boleh diterima ialah bila seseorang berkata "saya tak pandai makan ini atau itu". Macam la perkara makan-makan ni perlu belajar di sekolah-sekolah khas. Cuba ajelah dulu, kalau tak sesuai dengan tekak barulah reject. Ini tak, nak sentuh makanan pun macam orang suruh dia sentuh periuk api atau tahi kucing. Itu tekak mengada-ngada namanya. Kalau bagi sushi yang mentah atau separa mentah boleh pula telan. Ada standardlah katakan. Makan pun sampai kembang-kembang hidung. Kalau makan makanan ala-ala barat pula, dengan megahnya mereka menyuap makanan dengan garfu menggunakan tangan kiri (tangan basuh hajat).

Menurut kata orang, untuk menghasilkan masakan yang sedap, kita kena ikhlas dan memasak dengan penuh rasa kasih sayang. Baharulah terpancar unsur-unsur positif tadi di dalam masakan. Sebab itulah masakan mak-mak kita adalah selalunya yang 'the best in the world' kerana mereka menyalurkan kasih sayang mereka melalui makanan-makanan yang dimasak. Kalau masak sambil merengus dan marah-marah, pasti masakan tersebut rasa ke laut dan berakhir ke longkang. Tapi hati-hati ya, kedai-kedai makan yang menyediakan masakan yang rasanya sedap-sedap biasanya akan memasukkan Ajinomoto secukup rasa di dalam masakan mereka. Nasib la bagi mereka yang hari-hari makan di luar tu. Makin cepat le lapisan ozon atas kepala tu menipis. Ajinomoto ni kalau kacau dalam air sahaja pun boleh rasa sedap. Orang yang tak reti masak pun boleh buat masakan jadi sedap. Oleh itu, untuk mengelakkan dari asyik makan luar, ada baiknya anda belajar memasak sendiri walaupun anda bujang trang tang tang. Tak le sampai walau untuk menikmati secawan Teh O pun kena minum di kedai (macam kawan saya masa zaman-zaman bujang dulu).

Mozar : Bila pembantu rumah anda mula memasak dengan penuh kasih sayang, rasa masakannya pasti akan sedap sampai ada yang ingin ikut balik ke kampung halamannya.

Hidangan eksotik : Bagi yang gemar, ia mengembangkan perut dan selera. Bagi yang tidak gemar ianya mengembangkan tekak. Ok apa, cantik persembahannya.

No comments:

Post a Comment

Pecah kaca pecah cermin, lepas baca harap komen...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...