Sunday, March 6, 2011

Berkualitikah Hidup Kita?

Sudah beberapa ketika saya tidak mencetuskan sebarang entri di sini dek kerana kesibukan membuat 'last minute touch up' kepada Audit Persijilan ISO 9001:2008 untuk Sistem Pengurusan Kualiti di tempat kerja. Tiada mood hendak menulis jika fikiran asyik terikat kepada Audit tersebut. Alhamdulillah, segala-galanya telah selesai dan telahpun lulus dengan cemerlang. Tiada sebarang ketidakakuran(nonconformity) dijumpai. Jumpa lagi di tahun hadapan, wahai Audit!

Berkisah tentang kualiti ini, sejauh manakah berkualitinya hidup kita? Menurut maknanya dalam bahasa Inggeris, kualiti adalah sesuatu yang 'fit for intended purpose'. Jadinya, sesuatu produk atau perkhidmatan itu tidak semestinya mahal untuk jadi berkualiti. Mungkinlah kemahalan itulah hasil daripada tindakan untuk memenuhi segala aspek kepuasan pelanggan. Segala remeh temeh dan 'mak nenek' diitikberatkan agar pelanggan puas hati. 

Contohnya, telefon bimbit yang berkualiti harus memenuhi kehendak atau keperluan golongan yang disasarkan. Bagi golongan remaja, apalagi yang perlu diutamakan selain dari sumber untuk berhibur dan bersosial. Telefon yang memenuhi kehendak atau hawa nafsu mereka itulah yang mereka anggap berkualiti. Bagi golongan tua atau yang sudah berpencen, telefon berkualiti bagi mereka ialah yang mempunyai digit-digit yang besar serta mudah untuk diaplikasikan. Tidak perlu terlalu canggih hingga memeningkan kepala menggunakannya. Manakala bagi golongan yang berperwatakan kasar dan tidak sayang barang pula, telefon yang jatuh beberapa kali tanpa rosak atau pecah menjadi pilihan sebagai yang berkualiti bagi dirinya.

Berbalik kepada soal kehidupan, agak sukar atau mustahil sebenarnya bagi sebarang individu di dunia ini untuk menikmati kehidupan yang 100% berkualiti, yakni segala-galanya bagai dikata dan bagai dihajat. Orang terkaya di dunia sekalipun tidak semestinya mempunyai tahap kualiti hidup yang sempurna segala-galanya. Pasti terdapat lompang di sana sini. 

Contohnya, walaupun si kaya itu hidup di istana bagaikan di kayangan dengan segala-gala keperluan dan kemewahan hidup diadakan baginya, pastikah udara yang disedut di persekitaran hidupnya bersih dan suci dari pencemaran? Kalau dia hidup di kawasan paling bersih di dunia sekalipun, tidak mungkin dia boleh tinggal di situ tanpa ingin menjelajah ke tempat-tempat lain di dunia yang pastinya mempunyai kualiti udara yang lebih rendah. Sekiranya dia memilih untuk tidak ke mana-mana pun ke dunia lain kerana takutkan kualiti udara yang rendah, satu 'markah' kualiti hidupnya sudah boleh ditolak dari situ. Jadi, si kaya tidak akan pernah menikmati kualiti hidup yang tip top dalam serba serbi.

Bagi kita yang berada di golongan bawahan dan pertengahan, pastinya banyak kekurangan hidup yang menjadi sungutan dan bebelan tanpa kesudahan. Sebenarnya, tidak semua yang miskin mempunyai kualiti hidup di tahap terendah. Jika bijak mengemudi hidup, segala makan dan pakai menjadi berkualiti, dengan syarat segala-galanya disertai dengan penuh rasa redha dan syukur. Tiada satupun nikmat hidup yang lain yang mampu mengatasi perasaan redha dan syukur ini. 

Seorang miskin yang hanya menikmati sebutir telur goreng untuk santapan harian, akan merasai betapa berkualitinya makanan yang dijamahnya andai diiringi dengan rasa syukur yang amat sangat. Ada insan-insan lain di dunia sebelah sana yang langsung tidak berpeluang menikmati makanan setiap hari atau mungkin juga mati kerana kebuluran. Di sinilah erti kualiti hidup bagi seorang yang miskin. Makanan yang dimakannya cukup untuk masih menggerakkan tulang empat keratnya untuk dia meneruskan kehidupan. Seorang yang kaya berharta sekalipun belum tentu dapat menjamah segala-gala hidangan yang istimewa tersembah di depan mata. Penyakit mungkin menghinggapi di sana-sini.

Kesimpulannya, kehidupan kita bukanlah 100% boleh kita rencanakan seperti kita merencanakan Sistem Pengurusan Berkualiti seperti di dalam persijilan ISO. Hidup kita juga telah direncanakan oleh Allah s.w.t. Seandainya kehidupan seseorang itu hendak diaudit untuk mencari di mana keakuran dan ketidakakurannya, maka tidak ada seorang pun di dunia ini yang akan berjaya mendapat pengiktirafan persijilan sepertimana persijilan ISO itu. Kepincangan pasti ada di sana-sini. Lebih-lebih lagi ketidakakuran atau ketidakpatuhan kita kepada hukum-hukum Allah s.w.t.

Mozar : Andai diri serba kekurangan serta nasib tidak menyebelahi diri, pasrahlah dan berusahalah agar kehidupan sebenar sesudah mati nanti akan menjadi yang Maha Berkualiti. Di sana nantilah kita akan abadi selama-lamanya.


No comments:

Post a Comment

Pecah kaca pecah cermin, lepas baca harap komen...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...