Tuesday, January 25, 2011

Ganjarkan Diri Anda Sendiri

Penat dan bosan dengan sesuatu benda yang anda kerjakan?
Hampir putus asa mengejar impian atau cita-cita anda?
Tunggu sekejap! Ada yang tidak kena di sini. Mengapa anda harus berasa sedemikian rupa? Mungkin setiap hari anda bekerja tanpa henti, membuat kerja-kerja yang terlalu rutin atau mendapat rehat yang terlalu sedikit. Apapun keadaan diri anda, hidup mesti diteruskan. Apapun pekerjaan atau tugasan yang anda hadapi, ianya perlu dilaksanakan secara bijak dan berhemah supaya membuahkan hasil yang memuaskan. Jika sebaliknya, satu kerja pun tidak akan sempurna di samping banyak masa yang akan terbazir begitu sahaja.

Mengapa tidak anda menangani kebosanan dan kepenatan bekerja dengan cara anda mengganjarkan diri anda sendiri. Ungkapan dalam bahasa Inggerisnya berbunyi 'reward yourself'. Setiap tugasan dan pekerjaan yang kita lakukan boleh kita applikasikan kaedah ganjaran diri ini. Tidak kiralah anda bekerja sebagai CEO, peniaga, petani sehinggalah kepada para pelajar yang mengulangkaji pelajaran. Dengan kata lain, mengganjarkan diri ini boleh juga disifatkan sebagai sessi me'release tension' agar yang tegang dapat dapat dikendurkan, yang ketat dapat dilonggarkan.

Kerja-kerja yang memenatkan atau kadangkala membosankan boleh menjadi menggembirakan andai anda boleh berjanji dengan diri sendiri bahawa anda akan mengganjarkan diri anda dengan sesuatu yang menyenangkan seusai kerja-kerja tersebut. Seandainya kerja-kerja anda itu memang dijanjikan sesuatu ganjaran oleh pihak lain, itu merupakan satu bonus. Contohnya, anda dibayar upah atau gaji di atas kerja-kerja anda. Sekiranya tiada, anda sendirilah yang perlu memujuk diri anda sendiri dengan pelbagai 'upah' yang wajar.

Sebagai satu contoh yang jelas, setelah anda penat bekerja keras mencari rezeki berhari-hari, apalah salahnya anda mengganjarkan diri anda dengan pergi bercuti di tempat-tempat yang anda inginkan, membeli barang-barang yang selalu anda impikan atau sekurang-kurangnya mengambil beberapa hari cuti rehat untuk 'catch up' semula aktiviti masyarakat yang telah lama anda tinggalkan dek kesibukan anda selama ini.

Sebagai seorang pelajar pula, kesibukan menelaah dan membuat tugasan boleh 'dilegakan' dengan sekecil-kecil ganjaran seperti mencuri-curi masa untuk menghirup secawan kopi atau coklat panas. Cara yang lain, janjikan diri anda bahawa anda akan hanya bersosial atau 'mengadap buku' (facebook) setelah anda selesai segala tugasan anda. Dengan cara-cara itu ia akan dapat menyegarkan anda semula di samping merangsang kesungguhan anda untuk menyudahkan apa yang anda buat bila mengetahui ada sedikit ganjaran yang sedang menanti anda. Ganjaran yang lebih menggembirakan lagi ialah apabila anda mendapat markah yang cemerlang bagi kerja-kerja kursus anda atau kertas peperiksaan yang anda duduki.

Kesimpulannya, menyediakan ganjaran diri akan membuatkan anda lebih bermotivasi dan lebih komited dengan kerja-kerja anda. Rasa bosan dan penat akan dapat dihindari bila sahaja anda memulakan pekerjaan. Ini juga tidak secara langsung dapat menyihatkan minda dan emosi anda. Semakin besar ganjaran yang anda sediakan, semakin bersemangatlah anda dengan kerja-kerja anda. Setiap kali unsur-unsur 'M' mula mendekati anda ingatlah bahawa anda ada sesuatu yang membahagiakan sedang menanti anda di hujung sana. Selamat tinggal Mr. M!

Mozar : Agak-agak juga bila mengganjarkan diri anda. Jangan sampai hanyut, pokai atau terus terjatuh di zon selesa yang melalaikan hingga kerja-kerja anda terus terbengkalai.

Bungee Jumping : Salah satu cara mengganjarkan diri secara ekstrim, ada bran?? Penaya kat lembu ni. "Aku tak dilahirkan untuk diperlakukan sebegini...!!!!!. Gayat siot...!!!!!"

No comments:

Post a Comment

Pecah kaca pecah cermin, lepas baca harap komen...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...