Thursday, January 6, 2011

Tentang Peluang Kedua

Wajarkah kita diberi peluang kedua dalam segala hal di atas dunia ini? Siapa yang tidak mahu, betul tak? Kehidupan kita ini penuh dengan perkara-perkara yang tidak disangka-sangka. Ujian demi ujian Allah s.w.t menghujani kita silih berganti selagi kita masih bernyawa. Dalam banyak perkara adakalanya kita menang dan adakalanya kita tewas. Andai kita tewas dalam melunaskan sesuatu ujian mahupun impian, tiada apa yang lebih indah daripada mendapat peluang kedua. Peluang kedua bagaikan mati hidup semula, bagai pohon layu disirami air, bagai danau kering dilimpahi selautan air. Tidak ada sesiapa yang sempurna di dalam dunia ini. Setiap insan pasti sekali pernah menghadapi kegagalan dalam hidup. Kata-kata dorongan supaya jangan berputus asa di atas kegagalan tidak akan bermakna andai tiada jalan untuk bangkit semula atau lebih enak disebut peluang kedua.

Kerana peluang kedualah yang hampa akan terus bangkit meneruskan perjuangan yang telah kandas. Peperiksaan contohnya, andai tiada peluang kedua maka buntulah jalan, lenyaplah cita-cita dan berkecailah harapan. Kepada yang punya kuasa atau autoriti di atas muka bumi ini, janganlah terlalu angkuh untuk tidak mengizinkan peluang kedua dalam perkara yang anda punya kuasa mutlak kerana anda juga pasti sekurang-kurangnya sekali dalam hidup memerlukan peluang kedua. 

Allah s.w.t sendiri begitu pengasih dan penyayang sehinggakan sebelum nyawa sampai di halkum sekalipun Dia masih memberi ruang dan peluang untuk hambanya bertaubat walaupun tidak terhingga Maha beratnya dosa silam hambanya. Bukan hanya peluang kedua, malah peluang yang infiniti diberikan olehNya. Manusia kerdil yang hati-hatinya dipegang oleh Allah s.w.t harus dan sepatutnya berjiwa murni dan berlapang dada untuk memberikan peluang kedua kepada insan-insan yang mendambakannya. Tiada masalah yang tidak dapat diselesaikan di atas dunia ini dan tidak seharusnya ada jalan mati di dalam kehidupan ini melainkan hanya bila dijemput oleh Allah s.w.t.

Mozar : Warna-warna kehidupan di atas dunia ini adakalanya terlalu abstrak untuk dimengertikan. Andai peluang kedua masih kecundang, carilah haluan yang lain pula kerana anda mungkin berada di tempat yang salah.
Perlumbaan 100 m : Tiada banyak masa untuk membuat kebangkitan semula bila telah jauh ketinggalan. Peluang menang hanya sekali. Pemenang di tempat kedua hingga terakhir akan terus dilupakan orang.

No comments:

Post a Comment

Pecah kaca pecah cermin, lepas baca harap komen...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...